MuzikROCK
Dulu, kini & selamanya... muzikrock.com
Kembali

Foto kenangan
Kasut jenama Aliph

Kasut sukan berjenama Aliph mula dipasarkan pada pertengahan tahun 1980-an, iaitu ketika zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia. Seperti mana yang diketahui umum, kasut sukan adalah antara aksesori penting yang melengkapkan gaya artis dan band rock pada zaman tersebut, tidak kira di Malaysia atau di luar negara. Sejak itu, pemakaian kasut sukan tidak lagi hanya untuk bersukan atau beriadah, tetapi telah menjadi sebahagian daripada fesyen dan kegunaan harian yang kekal hingga ke hari ini...

Aliph White Shadow
Aliph Hi-Cut Rider


Kasut Aliph adalah antara jenama tempatan yang paling popular ketika itu dan sering menjadi pilihan artis dan band rock untuk digayakan, malah jenama tersebut menjadi ikutan para peminat muzik rock umumnya. Kebiasaannya kasut sukan yang mempunyai rekabentuk potongan tinggi (high-cut) paras pergelangan kaki akan menjadi pilihan ramai kerana selain bentuknya yang unik dan menarik, ia juga seakan-akan telah direka untuk kelihatan sepadan dengan potongan seluar sendat yang juga turut menjadi sebahagian daripada fesyen rasmi para rockers ketika itu...

Amir SYJ Man Rani SYJ


Kasut Aliph dipasarkan dalam pelbagai warna, bentuk dan model, antara yang popular ialah model Hi-Cut Rider, sementara rekabentuk yang mempamerkan logo besar Aliph dalam pelbagai warna di kiri dan kanan kasut sering menjadi pilihan. Sekitar tahun 1987-88, kumpulan Search telah dipilih untuk memperagakan jenama Aliph secara eksklusif di mana rekabentuk terbaru kasut Aliph telah dikeluarkan secara terhad dan model tersebut dikenali dengan nama Aliph Search. Setelah itu, kumpulan Lefthanded juga mendapat peluang yang sama, di mana mereka muncul memperagakan jenama Aliph Lefthanded...

khys khys
khys khys


Pada tahun 1987 juga, jenama Aliph telah menaja kasut untuk filem Rozana Cinta '87, di mana pelakon terkenal Helmi Hussaini dan Erma Fatima dilihat memakai kasut Aliph dalam filem yang mengisahkan tentang pergolakan remaja kota itu. Pada 1989, jenama Aliph sekali lagi mengeluarkan model terbaru, tetapi kali ini mensasarkan hanya kepada golongan gadis remaja, lalu muncullah kasut Aliph Terri yang turut dipasarkan dalam rekabentuk potongan tinggi (high-cut). Tidak lama kemudian, jenama Aliph memperkenalkan pula kasut khusus untuk dipakai ke sekolah, iaitu model White Shadow dan Strike Force yang hanya dikeluarkan dalam warna putih. Dengan itu, jenama Aliph terus mengekalkan popularitinya sehingga ke awal tahun 1990-an...

Petikan filem Rozana Cinta '87 Erma Fatima dalam filem Rozana Cinta '87
Iklan 1989 Iklan 1989
Iklan 1990 Aliph Terri
Iklan 1989 Iklan 1989


Sejurus menurunnya populariti muzik rock di Malaysia sekitar tahun 1993, jenama Aliph juga seakan menerima tempiasnya, di tambah pula dengan kemunculan pelbagai jenama lain yang semakin mendapat perhatian. Maka, secara perlahan-lahan pengeluaran kasut Aliph telah dihentikan, dan akhirnya operasi kilang Aliph terpaksa menutup pintunya buat selama-lamanya. Kini, kasut Aliph masih lagi kelihatan dipakai oleh para pemilik dan pengumpulnya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kasut Aliph kini telah menjadi antara simbol ingatan rasmi terhadap zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia, malah jangan terkejut sekiranya terlihat kasut Aliph tidak lagi berfungsi sebagai pelapik kaki, tetapi sebaliknya terjaga rapi sebagai sebahagian daripada bahan pameran untuk tatapan orang ramai - Artikel ini ditulis oleh khys pada 22 Julai 2007

Pulau Pinang Pulau Pinang
Kedah Kedah
Perak Perak
LAGI FOTO & GRAFIK

Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2008
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut