Kembali

www.muzikrock.com

Dulu, kini & selamanya...
www.muzikrock.com

SENARAI
ARTIS/BAND
KARYAWAN
KOMPILASI
KONSERT

ISTIMEWA
FOTO & GRAFIK
ARTIKEL & ULASAN
SENIKATA

MEDIA
AUDIO
VIDEO

KEDAI
MUZIKROCK.COM/SHOP

Join MUZIKROCK facebook

Flyer muzikrock.com

27 Disember 2009

26 Disember 2009

22 November 2009

21 November - 31 Disember, 2009

4 Oktober 2009

16 Ogos 2009

1 Ogos 2009

1 Ogos 2009

31 Mei 2009

30 Mei 2009

29 Mei 2009

16 Mei 2009

9 Mei 2009

2 Mei 2009

2 Mei 2009

4 April 2009


Blog Terkini Arkib Blog
2006
| 2007 | 2008 | 2009 | 2010
RSS Feed - untuk melanggan blog

14 Disember 2009
Hari ini aku tiada cerita mengenai arena rock tanahair. Ingatkah lagi satu ketika dulu pembeli kaset rock sering mendapat pelbagai poster artis dan band rock, yang akhirnya akan menjadi hiasan dinding dan bilik bujang para peminat rock. Begitu juga kedai muzik dan kaset akan mempamerkan puluhan poster artis rock pujaan ketika itu. Sekarang poster rock tidak banyak dikeluarkan lagi, mungkin juga kerana penjimatan kos, mungkin juga kerana kesuraman pasaran muzik, atau mungkin juga kerana artis rock sudah tidak kelihatan menarik lagi? Sebenarnya sudah lama aku bercadang untuk menghasilkan sebuah poster kalendar seperti gambar di bawah ini sebagai kenang-kenangan terhadap zaman rock kapak satu ketika dulu. Walaupun dengan sumber yang begitu terhad, aku harap poster kalendar sebegini kalau pun sudah tidak lagi sesuai untuk menghiasi dinding anda, biarlah ia disimpan sebagai cenderamata.

Kalendar Rock Kapak 2010

Klik untuk maklumat lanjut.
-

6 Disember 2009
Mungkin ramai yang sudah tahu tentang penukaran tarikh dan tempat untuk Konsert Rock The World (RTW) hujung tahun ini. Walau bagaimana pun, boleh dikatakan senarai artis untuk siri RTW tahun ini agak kurang menyerlah, sekurang-kurangnya pada pandangan peribadi aku sendiri. Tetapi untuk para peminat muzik generasi baru pastinya tidak akan melepaskan peluang menonton sebegitu ramai bakat muzik terkini yang ditampilkan dalam puluhan kumpulan muzik yang masih berjuang untuk mencari tapak dalam kesuraman pasaran muzik arus perdana kini. Namun begitu, apa yang amat menarik perhatian aku pada siri RTW kali ini ialah kemunculan semula kumpulan yang boleh dianggap veteran dalam arena alternatif rock tempatan iaitu kumpulan Saturnine. Aku sememangnya menggemari lagu dan muzik mereka walaupun satu ketika dulu mereka antara kumpulan muzik yang boleh dikatakan kurang popular berbanding kumpulan muzik lain yang sezaman dengan mereka seperti OAG dan The Pilgrims.

Sementara itu sebuah lagi persembahan hebat juga akan berlangsung pada 26 Disember nanti iaitu Konsert Radio Rosak Grand Finale di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Siri Konsert Radio Rosak sebenarnya telah berlangsung di beberapa buah tempat sepanjang tahun ini, dan untuk siri penutup di Kuala Lumpur satu kejutan telah diumumkan, iaitu penampilan utama lagenda rock tanahair - Search dan Wings! Mungkinkah dua nama besar itu akan menenggelamkan persembahan artis Radio Rosak lain terutamanya kumpulan yang heboh diperkatakan sebagai 'supergroup' iaitu Projek Pistol? Apa yang pasti, Konsert Radio Rosak Grand Finale ini bakal menarik perhatian ramai peminat muzik rock n roll tempatan, dan acara sebegini mampu memberi pendedahan yang meluas kepada banyak kumpulan muzik rock generasi baru yang akan turut terlibat dalam konsert tersebut nanti. Tetapi musykil juga kerana konsert sehebat ini seakan tiada promosi besar-besaran?

Satu lagi berita yang boleh dikatakan agak gempak ialah pengumuman tentang kumpulan Search yang telah diundang bagi mengadakan persembahan di Dublin, London dan Liverpool pada bulan Februari tahun depan. Walaupun siri konsert tersebut lebih tertumpu kepada bakal penonton warga Malaysia yang menetap di sana, tetapi tidak mustahil ia juga mampu menarik perhatian para peminat muzik warga asing bagi menyaksikan kumpulan rock paling terkenal di Malaysia itu. Tiket untuk ketiga-tiga lokasi sedang dijual sekarang. Untuk maklumat lanjut sila ke www.orangkita.eu

Aku juga turut mendengar cerita tentang kejayaan kumpulan Aisunam The Federated dalam satu pertandingan besar baru-baru ini, tapi seperti biasa ia tidak menjadi tajuk berita walaupun kumpulan Aisunam pernah menjadi juara pertandingan Rentak Juara 2008, dan mereka juga telah pun mengeluarkan sebuah album bersama kumpulan The Federated pada awal tahun ini. Tidak lama dahulu kumpulan Aisunam turut terlibat dalam rakaman Konsert Gegar Generasiku bersama banyak lagi kumpulan muzik generasi baru, dan rakaman bahagian kedua konsert tersebut yang menampilkan Aisunam akan disiarkan di saluran TV2 pada 13 Disember jam 8.30 malam. Untuk pengetahuan, rakaman Konsert Gegar Generasiku bahagian pertama yang melibatkan beberapa kumpulan muzik lain akan disiarkan hari ini, 6 Disember.

Akhir sekali, ada sedikit berita perkembangan laman web muzikrock.com di mana aku telah pun mengemaskini ruangan Foto yang agak terbiar untuk sekian lama. Pada bahagian foto Artis/Band sebelum ini terdapat 9 thumbnail gambar yang tidak dapat diklik. Kini 9 gambar besar untuk thumbnail tersebut telah dimasukkan, iaitu gambar Melissa, Sweet Charity, Rajawali, Aim Crossfire, Vagrant, Sherox, Desire, Leez dan Febians. Nantikan juga berita selanjutnya mengenai pengeluaran istimewa Kalendar 2010 Muzikrock.com yang pasti menggemparkan!
-

25 Oktober 2009
Aku agak sibuk sejak bulan Julai yang lepas, jadi tak banyak yang dapat dilakukan untuk laman web ini. Ogos berlalu dengan berita hangat 'kegagalan' konsert kumpulan Search di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, walaupun ia tidaklah begitu teruk sebenarnya, cuma apabila dibandingkan dengan lain-lain lokasi dalam tour Awan Biru maka kekurangan dalam konsert kemuncak tersebut kelihatan terlalu mendukacitakan ramai pihak. Semalam kumpulan Search beraksi lagi, di lokasi yang sama, Bukit Kiara, untuk Ara Music Fest. Konsert gabungan ramai artis/band itu mengundang kumpulan Search sebagai aksi kemuncak ketika waktu menghampiri 12 tengah malam! Apa yang mengejutkan ialah ketiadaan Hillary sebagai pemain gitar utama. Tempat Hillary kini diambil alih oleh Kid. Semula. Adakah Hillary kini meninggalkan kumpulan Search buat sekian kalinya? Itulah yang dikhabarkan oleh sumber yang rapat dengan kumpulan Search.

Bagi sesiapa yang tidak sempat menyaksikan gabungan Hillary dengan Search dalam tour Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru, kini rakaman salah satu konsert tersebut yang berlangsung di Johor Bahru pada 9 Mei lalu telah berada di pasaran dalam bentuk album cakera padat yang berjudul Search Live In JB 2009 - City Of Rock N Roll. Khabarnya versi video DVD juga bakal keluar tidak lama lagi. Konsert Awan Biru di JB dianggap sebagai konsert terbaik dalam keseluruhan tour malah mengatasi kehebatan konsert kemuncak di Kuala Lumpur. Jadi penerbitan album dan DVD ini dianggap sebagai pilihan yang tepat. Aku sudah pun menempah album tersebut tapi masih belum menerimanya. Ia diedarkan oleh Sony Music Malaysia dan boleh juga dibeli melalui laman web pengedar selain daripada kedai muzik biasa.

Selain itu sebuah lagi album otai rock telah berada di pasaran baru-baru ini. Satu kelainan apabila Joe Burnmarks, gitaris terkenal di kalangan generasi rock 80-an, diberi peluang menghasilkan sebuah lagi album solo beliau yang berjudul Inspirasi. Aku masih mencari album tersebut yang diedarkan oleh pengedar tempatan Musicland. Perkembangan arena rock masa kini pula menyaksikan kumpulah Hujan yang pernah memenangi anugerah Album Rock Terbaik AIM, muncul lagi dengan album terbaru berjudul Mencari Konklusi dan kini mereka sedang menjelajah seluruh Malaysia dalam siri Tour Mencari Konklusi. Sekadar menambah pengetahuan, kumpulan Kopratasa pernah muncul dengan lagu berjudul Mencari Konklusi dalam album Laungan (1990).

Sementara itu, bakal berada di pasaran dalam bulan November nanti ialah album terbaru XPDC yang berjudul agak pelik - Rasopariso. Penantian para peminat XPDC sejak sekian lama bakal menjadi kenyataan, tambahan pula album terbaru ini adalah album penuh pertama XPDC bersama Mael sejak kali terakhir mereka bersama dalam album Brutal (1997). Inilah penantian 12 tahun! Jadi tentu ramai yang tidak sabar untuk mendapatkan album Rasopariso. Semalam juga diberitakan bahawa XPDC telah mula mengadakan persembahan, iaitu di Rawang, Selangor, sebagai satu promosi awal kepada album terbaru mereka itu.

Akhir sekali, pihak muzikrock.com sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan cenderamata berupa t-shirt bagi terus mengukuhkan kehadiran laman web ini di kalangan para peminat muzik rock tempatan. Semoga rancangan ini akan menjadi kenyataan dalam tahun ini juga. Terima kasih kepada semua yang menyokong muzik rock tempatan.
-

20 Mei 2009
Seperti yang dijanjikan, anda boleh menonton persembahan Bloodshed di Stadium Indra Mulia, Ipoh 1985 dengan mengunjungi www.muzikrock.com/bloodshed. Walaupun hanya beberapa minit sahaja yang dapat disiarkan, semoga anda berpuas hati. Usaha menyimpan rakaman visual rock sebegini mungkin diambil ringan pada 1985 dan pada masa-masa lalu ketika teknologi rakaman visual baru mula berkembang, tetapi usaha merakam visual aksi rock pada masa kini di mana teknologi semakin mudah adalah sangat-sangat digalakkan. Rakamlah aksi band rock yang tidak terkenal sekarang, ia mungkin akan dihargai 24 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2033! Hahahaha...
-

16 Mei 2009
Laman web www.muzikrock.com dengan sukacitanya akan mempersembahkan satu tayangan perdana klip video istimewa yang dipetik daripada sebuah konsert rock yang telah berlangsung di Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak pada 1985. Klip video tersebut akan memaparkan sejarah awal kumpulan Bloodshed sebelum mereka menyertai projek Battle Of The Bands '86. Oleh kerana Bloodshed ketika itu belum merakamkan album, mereka hanya mempersembahkan beberapa buah lagu popular artis lain, antaranya lagu Ribut 10.59 Pagi oleh Sweet Charity.

Klik banner ini pada 20 Mei 2009

Rakaman konsert tersebut adalah sumbangan seorang rakan yang berusaha menyimpan sejarah muzik rock negara daripada pemilik asal rakaman tersebut. Semoga anda akan dapat merasai sedikit kemeriahan zaman kebangkitan muzik rock 1980-an melalui klip video tersebut yang akan disiarkan secara langsung melalui saluran internet seluruh dunia bermula pada 20 Mei 2009.
-

19 April 2009
Satu ruang khas untuk konsert Search Di Awan Biru telah dibuka hari ini. Anda boleh klik banner besar di muka hadapan atau klik di sini. Aku akan cuba memberi maklumat terkini dan sudah tentunya ulasan serta gambar-gambar konsert yang akan berlangsung cuma kurang 2 minggu saja lagi di Pulau Pinang, dan mungkin juga aku akan hadir di lokasi-lokasi seterusnya sebagai sokongan. Ruang khas tersebut juga satu alternatif untuk anda menyemak tarikh dan lokasi konsert selain daripada puluhan laman web dan blog lain yang turut menyediakan maklumat yang sama.

Pada hari yang sama berlangsungnya konsert Search Di Awan Biru yang pertama pada 2 Mei nanti, seluruh peminat, penggiat dan pemerhati industri muzik negara akan bertumpu kepada satu acara tahunan yang penting iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 yang kebiasaannya berlangsung di Kuala Lumpur. Mungkin bukan semua orang, dikecualikan kepada belasan mahupun puluhan ribu peminat muzik yang perlu berada di tapak konsert Search Di Awan Biru. Tarikh tersebut satu kebetulan, tiada apa nak dihairankan, kerana telah banyak anugerah muzik dalam dan luar negara yang pernah kita saksikan di mana akan terdapat penggiat muzik yang terpaksa bekerja 'overtime' pada hari mereka diraikan secara besar-besaran. Walaupun Search tidak dicalonkan dalam kategori yang khusus, tapi ada satu kategori yang membawa nama Search sebagai komposer bersama iaitu kategori Lagu Hip Hop Terbaik! Ya, percaya atau tidak, sebuah lagu hip hop yang diadaptasi daripada lagu Isabella dendangan Joe Flizzow (Too Phat) tercalon dalam kategori yang baru diperkenalkan itu. Selain itu, tahun ini juga AIM memperkenalkan kategori Lagu Rock Terbaik (sebelum ini cuma terdapat kategori Lagu Terbaik, tanpa mengira genre). Walaupun aku tidak akan berpeluang, atau lebih tepat lagi dikecualikan, daripada menonton siaran langsung AIM nanti, tahniah terlebih dahulu diucapkan kepada calon-calon akhir kategori Album Rock Terbaik iaitu Kristal, The Times, Nrocinu, Butterfingers dan Hujan (akan disenaraikan dalam muzikrock.com). Tidak dilupakan kepada sebuah lagi album rock daripada Estranged (akan disenaraikan dalam muzikrock.com) yang 'malangnya' tidak cukup kuota lagu bahasa Melayu untuk diiktiraf dalam kategori Album Rock Terbaik lalu terpaksa bersaing dengan genre lain dalam kategori Album Inggeris Terbaik. Semoga berjaya!
-

18 April 2009
Berita yang muncul akhir-akhir ini memang menggembirakan para peminat muzik rock tempatan. Apa tidaknya, dalam kemerosotan penghasilan album-album rock terbaru, kita dikejutkan dengan penganjuran konsert-konsert besar daripada beberapa nama besar yang mempelopori muzik rock seperti Sweet Charity, Search dan Lefthanded. Siapa yang tidak kenal nama-nama tersebut. Walaupun suatu masa dulu nama mereka memang gah menguasai pentas hiburan seluruh negara, tetapi kemunculan mereka kali ini bukanlah berdasarkan populariti semata-mata seperti ketika album mereka terjual ratusan ribu unit dahulu. Tanpa album terbaru mahupun lagu baru yang menguasai carta hiburan tempatan, nama Sweet Charity, Search dan Lefthanded masih mendapat kepercayaan untuk mengadakan sebuah konsert yang besar, malah Search telah diberi peluang mengadakan siri konsert jelajah yang merangkumi 11 buah tempat di seluruh Malaysia. Pengalaman luas dan tahap profesional mereka menjadi antara sebab mereka masih mendapat kepercayaan sebegini. Selain itu sudah tentu kerana kesetiaan peminat yang masih menyokong mereka sejak dulu hinggalah mereka berjaya mendapat peminat daripada golongan muda masa kini. Kejayaan yang dicapai oleh mereka kini, tidak lagi diukur daripada tahap jualan album atau tahap populariti semasa, tetapi ada sesuatu dalam diri mereka yang memungkinkan semua ini, sesuatu yang kita panggil... karisma. Sekian dulu, gua jumpa lu di sana nanti okay, kita bikin perjumpaan rokes terbesar untuk kenangan bersama, jangan lupa.
-

21 Februari 2009
Selamat pagi rockers! Permulaan tahun baru 2009 ini pada 1 Januari lalu telah aku mulakan dengan menonton persembahan Ella dan MAY di Pulau Pinang, satu permulaan yang amat menarik untuk dikenangkan. Tahun baru ini mungkin kurang meriah dengan kehadiran album dan lagu baru, setakat ini Mus MAY telah muncul dengan album solo beliau yang ketiga berjudul Optimis, dan terkini kumpulan Kamikaze baru saja mengedarkan album terbaru mereka berjudul The Return. Kita masih menantikan lagu terbaru Ella yang dikatakan sedang menjalani proses rakaman terakhir. Buat pengetahuan semua, Ella kini meraikan ulangtahun ke-25 beliau dalam arena rock, 8409! Sementara itu khabar dari seberang mengenai sambutan ulangtahun ke-40 tahun penubuhan kumpulan Sweet Charity (1969-2009) juga telah mula kedengaran. Namun satu berita yang paling menggemparkan ialah mengenai kumpulan Search yang bakal muncul menemui para peminat tidak lama lagi dalam persembahan yang sangat istimewa. Bila dan di mana? Kau akan tahu!
-

www.muzikrock.com

 


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2010
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut

BERKHIDMAT UNTUK ROCKERS