Kembali

www.muzikrock.com

Dulu, kini & selamanya...
www.muzikrock.com

SENARAI
ARTIS/BAND
KARYAWAN
KOMPILASI
KONSERT

ISTIMEWA
FOTO & GRAFIK
ARTIKEL & ULASAN
SENIKATA

MEDIA
AUDIO
VIDEO

KEDAI
MUZIKROCK.COM/SHOP

Join MUZIKROCK facebook

Flyer muzikrock.com

31 Disember 2008

27 Disember 2008

20 Disember 2008

6 Disember 2008

29 Nov - 31 Dis 2008

29 November 2008

3 Ogos 2008

2 Ogos 2008

14 dan 15 Jun 2008

24 Mei 2008

18 Mei 2008

18 dan 25 Mei 2008

4 Mei 2008

4 Mei 2008

16 Februari 2008

2 Februari 2008

27 Januari 2008


Blog Terkini Arkib Blog
2006
| 2007 | 2008 | 2009 | 2010
RSS Feed - untuk melanggan blog

29 November 2008
Baik aku bagi update sikit pasal apa-apa yang patut. Seperti yang diketahui semua rockers, pemain gitar Samad telah meninggal dunia. Sebelum beliau pergi, ada khazanah berharga yang ditinggalkannya, iaitu rakaman video teknik permainan gitar. Bahagian pertama telah diedarkan semasa hayat Samad masih ada. Kini tidak berapa lama selepas pemergian beliau, siri vcd bahagian kedua telah mula diedarkan. Khabarnya siri vcd tersebut mempunyai tiga bahagian di mana bahagian terakhir akan dikeluarkan hujung tahun ini.

Selain itu, satu lagi khazanah berharga juga baru dikeluarkan iaitu kompilasi Clash Of The Bands (COTB) yang pernah menghangatkan zaman rock pada 1987-89. Keluaran khas tersebut sebagai mengenang 20 tahun kemunculan band yang terlibat di mana kesemua mereka berasal dari Singapura. Sekiranya dahulu ia dikeluarkan dalam tiga siri kaset selama 3 tahun berturut-turut, kini COTB hadir dengan pakej istimewa mengandungi 3 CD dengan harga yang amat berpatutan.

Dalam bulan lepas juga 'tragedi kecil' menimpa kumpulan Jinbara yang 'dituduh' terlibat dengan dadah. Semuanya kerana salah faham dan sifat kurang menyelidik pihak tertentu sebelum membuat tuduhan. Mungkin juga masih wujud sifat taksub sesetengah golongan yang tidak akan berhenti mengaitkan antara muzik rock, rambut panjang dan pengambilan dadah. Tanggapan sebegitu tidak sepatutnya berlaku lagi pada zaman kini di mana terdapat ramai golongan berpendidikan tinggi yang seharusnya mampu berfikir panjang. Aku tidak akan mengulas lebih lanjut perbandingan genre muzik dan kaitannya dengan pengambilan dadah kerana semua orang pun tahu sejarah artis dan dadah di negara kita, siapakah di antara mereka yang lebih disanjung tinggi dan golongan mana pula yang sering dipandang serong. Baru-baru ini kumpulan Jinbara mengambil keputusan memotong rambut panjang mereka, bukan untuk membuktikan mereka tidak bersalah kerana sememangnya tiada kes yang berkaitan, tapi sebagai tanda protes, kesal dan tidak puas hati terhadap pihak yang telah mencalarkan nama mereka.

Akhir sekali, saksikanlah gig/konsert yang bakal berlangsung sehingga hujung tahun ini. Hidupkan semangat rock dengan memberi sokongan, semoga akan lebih banyak konsert besar menampilkan kumpulan rock pada tahun depan. Satu lagi sebelum aku terlupa, nampaknya sebuah rancangan tv berjudul Rock Prima siaran Astro berjaya menghimpunkan semula banyak kumpulan rock lama untuk membuat persembahan, antaranya seperti Melissa, Meditasi, Putra, Lela, dan lain-lain, carilah maklumatnya sendiri, kalau tak salah siarannya setiap Jumaat. Okay, aku nak pergi tengok Sil Khannaz ni kat Komtar Penang, yes! The Pilgrims pun dah 10 tahun tak tengok.
-

31 Ogos 2008
Bulan ini sepatutnya meriah dengan sambutan kemerdekaan ke-51, tapi suasananya tak sama macam tahun lepas. Mungkin kerana pada sambutan ke-50 pada tahun lepas kita telah merasai sambutan yang paling meriah dalam sejarah, jadi tahun ini sambutannya terasa hambar. Mungkin juga ada sebab-sebab lain. Namun bulan ini menyaksikan dua buah kumpulan muzik dalam aliran rock iaitu Butterfingers dan Nrocinu telah hadir dengan album terbaru mereka. Yang teristimewa sudah tentulah kerana kedua-dua buah album tersebut mengandungi sebuah lagu ciptaan terbaru yang berjudul Merdeka. Satu lagi kumpulan yang baru saja mengeluarkan album terbaru ialah Jinbara, namun kehadiran album mereka agak terpinggir walaupun diedarkan oleh syarikat rakaman gergasi. Aku akan cuba mendapatkan album tersebut untuk mengetahui apa yang menarik. Akhir sekali, jangan lupakan tarikh 16 September, walaupun mungkin tiada sambutan kerana dalam bulan Ramadan, tapi ingatlah pada rakan-rakan rockers Sabah & Sarawak kita yang tidak menyambut 31 Ogos kerana pada 1957 negeri-negeri tersebut masih belum merdeka, dan Malaysia hanya terbentuk pada 1963 dengan kemasukan Sabah & Sarawak (dan Singapura, yang keluar pada 1965). Ingat rock, ingat sejarah! Wa caya lu.
-

23 Julai 2008
Fuh lama juga tak update di sini. Bukan tak ada cerita, tapi masa agak suntuk sekali. Bulan Jun membawa kejayaan kepada Sweet Charity dengan konsert reunion mereka yang boleh dikatakan berjaya walaupun agak kurang sambutan. Bulan lalu juga aku mula menyemak trafik kunjungan ke laman web ini, dan profil artis/band yang paling ramai pengunjungnya adalah Wings, diikuti oleh Search, Ella, Sweet Charity dan XPDC. Mengikut statistik, Wings juga adalah band paling popular di laman web ini pada bulan April dan Mei. Khabar terbaru yang peminat rock perlu tahu ialah Wings akan mengadakan satu lagi persembahan istimewa pada 2 Ogos ini bertempat di kelab hiburan Ruums, Kuala Lumpur. Kali ini Wings akan diiringi oleh persembahan pembukaan daripada beberapa band seperti Aku, Kristal dan Revenge. Menarik juga nampaknya kerana jarang sekali persembahan otai rock negara ini dibuka oleh band pelapis generasi baru, pastinya gabungan peminat rock baru dan lama bakal merancakkan suasana nanti.
-

17 Mei 2008
Showcase istimewa Wings akan diadakan esok! Aku telah pun mendapatkan tiketnya, tapi masih tertanya-tanya bentuk persembahan mereka nanti, harap akan ada sesuatu yang tak pernah terjangka. Baru-baru ini juga telah berlangsung Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) di mana kategori Album Rock Terbaik dimenangi oleh Faizal Tahir, album Aku.Muzik.Kamu. Album itu juga memenangi Album Terbaik Keseluruhan dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik. Juga melayakkan Faizal Tahir menerima anugerah Artis Baru Terbaik. Satu pencapaian yang boleh dikatakan hebat. Tapi di kalangan peminat muzik rock, mereka masih mempersoalkan tentang status rock Faizal Tahir dan albumnya yang dikatakan tidak rock? Aku sudah lama membeli dan mendengar album Aku.Muzik.Kamu, dan aku menerima secara terbuka bahawa muzik rock mempunyai pelbagai gaya dan rentak. Walau bagaimanapun, rock yang dibawakan oleh Faizal Tahir mungkin tidak menepati selera para peminat rock yang membesar dalam tahun 80/90-an. Aku sendiri mengakui cuma mendengar album tersebut sebanyak 3 kali saja setakat ini. Tapi apa yang lebih membanggakan dalam AIM15 ialah Anugerah Kembara yang diberikan kepada Pop Shuvit hasil usaha keras mereka selama ini dengan membawa 'muzik Malaysia' hingga diterima di luar negara. Akhir sekali, jumpa anda di Planet Hollywood malam esok yeah...
-

10 Mei 2008
Selesai sudah gig Tribute To Rock Kangkang (TTRK) Part II yang ditunggu-tunggu pada Ahad lalu. Apa yang membuatkan aku tertarik dengan gig itu hingga mempromosikannya berminggu-minggu di muka depan laman web muzikrock.com? Ia bermula pada Mei 2007, ketika aku menyaksikan gig di pentas utama Central Market, bertemakan 80's The Never Ending Rock Story. Sekarang ini bila aku mengingatnya, ia lebih kurang Tribute To Rock Kangkang juga, mungkin Part 0? Aku tertarik bila menyaksikan lagu-lagu rock tempatan dan luar negara dimainkan semula oleh bands baru. Paling menarik bila mereka menjemput otai rock kita sebagai satu penghargaan. Sebab itu bila diadakan gig TTRK Part I pada bulan Februari lalu, aku usahakan untuk hadir lagi bagi menyaksikan lebih banyak bands, lebih menarik tentulah kerana kali ini bands diwajibkan membawa 2 buah lagu cover rock kangkang! Aku berpuas hati dengan apa yang disaksikan lalu menyebarkan rakaman gig itu melalui youtube. Dari situlah bermulanya perbincangan muzikrock.com dengan penganjur gig TTRK untuk bekerjasama mempromosi gig TTRK Part II. Ia bukanlah tentang populariti, tapi aku memang ingin menyaksikan muzik rock kembali bertapak kukuh di Malaysia. Semua pihak patut bekerjasama, dan kehadiran ratusan penonton gig TTRK Part II membuktikan sokongan padu para peminat muzik rock walaupun ia hanya dalam skala underground saja. Aku telah selesai menulis ulasan panjang lebar gig TTRK Part II, dan akan dihantar kepada pihak penerbit yang berminat.
-

1 Mei 2008
Orait, hari ini cuti umum yeah! Walaupun dah masuk bulan lima, keluaran album rock di pasaran terlalu sikit untuk tahun ini. Walaupun ramai yang mengatakan muzik rock akan kembali menguasai arena hiburan tempatan, tapi bila melihatkan jumlah album rock yang keluar setakat ini mungkin harapan itu cuma mimpi. Imbas kembali ketika muzik rock menguasai pasaran berbelas tahun dulu, setiap bulan akan terdapat beberapa buah album rock yang akan dikeluarkan. Walaupun begitu, situasi yang terjadi sekarang ini bukanlah melibatkan muzik rock saja, tapi kesan kemajuan teknologi hiburan sebenarnya melibatkan industri muzik keseluruhannya.

Tapi, apa yang menariknya sekarang ialah kehadiran beberapa persembahan rock yang aku anggap menarik untuk disaksikan tidak lama lagi. Pertama, tentulah anda telah pun melihat poster-poster promosi gig Tribute To Rock Kangkang Part II yang akan diadakan Ahad ini, 4 Mei di Central Market KL. Aku akan cerita lebih lanjut mengenainya dalam satu entri lain.

Pada hari yang sama, iaitu 4 Mei, akan berlangsung juga satu konsert istimewa kumpulan MAY di Singapura. Apa yang menariknya, konsert itu meraikan ulangtahun penubuhan MAY yang ke-22 tahun, di mana mereka juga menjemput One, salah seorang bekas vokalis MAY untuk turut beraksi. Yang tidak menariknya, tiadakah penganjur konsert di Malaysia yang menghargai sebuah band rock terkenal seperti MAY?

Sebaliknya pula, dalam bulan ini juga, iaitu pada 18 & 25hb Mei, kumpulan Wings akan kembali beraksi di Planet Hollywood KL dalam satu persembahan istimewa juga, iaitu meraikan ulangtahun penubuhan Wings yang ke-21 tahun. Ada juga yang menarik dan tidak menariknya. Pertama, sudah tentunya kehadiran bekas-bekas ahli kumpulan Wings seperti Mus, Mel, Jojet & Syam bakal menjadikan ia satu persembahan yang tidak patut dilepaskan. Tapi, kenapa hanya diadakan di sebuah kelab hiburan yang sangat terhad kapasiti penontonnya? Sebuah nama besar seperti Wings, tambahan pula tema persembahan yang begitu istimewa dan nostalgik, wajib mendapat penajaan yang lebih hebat daripada ini. Apa pun, aku akan ke sana, mungkin ada cerita yang lebih panjang dan menarik boleh dikongsi bersama nanti.

Akhir sekali aku ingin juga berkongsi keterujaan membaca berita tentang reunion Sweet Charity 2008, di mana mereka bakal beraksi di PWTC KL pada 14 & 15hb Jun nanti. Walaupun ia bukanlah sebuah konsert untuk para rockers, sebaliknya sekadar sebuah majlis yang malangnya agak formal & tentunya mahal pada kebanyakan para peminat muda, tapi kehadiran semula mereka membuktikan yang nama besar mereka masih mendapat perhatian pihak penganjur, dan semoga konsert atau majlis tersebut mendapat sambutan, dan paling penting bakal memberikan peluang lagi kepada mereka untuk membuat persembahan seterusnya, yang diharapkan mampu ditonton oleh lebih ramai para peminat yang tidak berkesempatan untuk kali ini.
-

29 April 2008
Rusty Blade, seperti yang ramai peminat rock tahu, telah bergabung kembali dan berjaya berkonsert di Malaysia pada September 2007. Satu persembahan yang mantap, dan sebagai salah seorang penonton konsert tersebut, aku memang berpuas hati dan mengharapkan mereka akan terus aktif. Rusty Blade kemudiannya dipelawa mengadakan konsert terkini mereka di Singapura pada bulan Mei nanti. Malangnya berita terkini yang aku terima menyatakan bahawa mereka telah pun membatalkan konsert di Singapura tersebut, sesuatu yang menimbulkan tanda tanya. Adakah Rusty Blade sudah tidak diterima di tempat asal mereka, atau mungkinkah terjadi lagi masalah-masalah dalaman? Harap mereka tetap bertahan, janganlah berhenti kerana mereka baru saja bermula semula. Aku juga masih berharap mereka dapat kembali ke Kuala Lumpur dalam tahun ini, dapat tengok di Planet Hollywood pun dah cukup rasanya, di mana aku jamin akan penuh sesak sekiranya menjadi kenyataan.

-

28 April 2008
Pertama sekali, selamat datang ke laman web www.muzikrock.com. Setelah lebih setahun kemunculan laman web ini, banyak juga respon yang bagus-bagus yang aku dapat daripada anda semua, yang kebanyakannya bertembung secara tak sengaja semasa dalam pencarian anda tentang muzik rock. Walau macam mana pun ramai lagi yang masih belum bertembung dengan laman web ini, kerana aku memang menghadkan promosi laman web ini kerana masih banyak maklumat yang tidak lengkap dan masih dalam pengumpulan dan penyusunan. Ramai juga yang tak faham konsep laman web ini yang lebih kepada berbentuk maklumat, dan tidak berbentuk hiburan mahu pun berbentuk komuniti. Walaupun begitu, projek laman web ini akan terus berjalan, dan aku harap dapat melengkapkannya dengan semua maklumat yang ada dalam simpanan aku. Rugi juga kalau tersimpan saja tanpa berkongsi sejarah rock tempatan yang tak seberapa ini.

Dulu aku cuba kemaskini buletin terkini secara sikit-sikit tentang perkembangan muzik rock tempatan. Sekarang aku rasa lebih bagus kalau guna konsep blog pula walaupun aku tak pasti sama ada mampu mengendalikan blog ini dalam masa harian yang begitu terhad ini. Apa pun, terimalah segmen terbaru laman web www.muzikrock.com
-

9 Januari 2008
Beberapa album baru telah berada di pasaran sekitar penghujung 2007 dan awal 2008. Antaranya ialah Search Live at Planet Hollywood, Sil Khannaz 20th Anniversary Live at Planet Hollywood, XPDC Rock Union. Begitu juga beberapa band baru yang turut berjaya mengeluarkan album seperti Kiri, One Buck Short, Plague Of Happiness dan Starduzz.
-

1 Januari 2008
Sambutan tahun baru 2008 yang berlangsung pada 31 Dis. 2007 di beberapa tempat seluruh negara menyaksikan muzik rock terus bergema. Search mengadakan kejutan dalam persembahan ringkas mereka di perkarangan KLCC dengan menyaksikan kemasukan semula Noordin Taib di posisi gitar kedua. Di Dataran Merdeka KL pula, Wings menutup acara sambutan peringkat nasional dengan persembahan 'cemerlang' mereka. Menyusur ke Dataran Bandaraya Ipoh pula, kehadiran SJY 08 mengejutkan para peminat muzik rock dengan persembahan bertenaga yang turut disertai oleh Amir Sofea yang telah sekian lama menyepi daripada dunia muzik. Di Pulau Pinang pula, Tapak Pesta Sungai Nibong bergema dengan kembalinya XPDC yang semakin mantap persembahannya. Mereka turut disokong oleh persembahan pembukaan daripada Revenge yang amat kental dengan semangat rock 80-an. Tidak jauh dari situ, kumpulan MAY juga turut menggegarkan pulau mutiara semasa sambutan tahun baru peringkat negeri dalam persembahan khas di kawasan Padang Kota. Secara keseluruhannya ini semua menjadi tanda kehadiran satu tahun baru 'rock' yang meriah.
-

www.muzikrock.com

 


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2010
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut

BERKHIDMAT UNTUK ROCKERS