Kembali

www.muzikrock.com

Dulu, kini & selamanya...
www.muzikrock.com

SENARAI
ARTIS/BAND
KARYAWAN
KOMPILASI
KONSERT

ISTIMEWA
FOTO & GRAFIK
ARTIKEL & ULASAN
SENIKATA

MEDIA
AUDIO
VIDEO

KEDAI
MUZIKROCK.COM/SHOP

Join MUZIKROCK facebook

Flyer muzikrock.com

2 Disember 2007

7 November 2007

9 September 2007

1 September 2007

1 Mei 2007

10 Mac 2007

3 Mac 2007

3 Februari 2007

1 Februari 2007


Blog Terkini Arkib Blog
2006
| 2007 | 2008 | 2009 | 2010
RSS Feed - untuk melanggan blog

25 Disember 2007
Setelah muncul dengan album Teori Domino Revisited, kumpulan Wings merancang untuk mengeluarkan sebuah lagi album dengan konsep yang sama, tetapi kali ini dengan merakamkan semula lagu-lagu daripada album Jerangkung Dalam Almari pula. Kemungkinan besar album tersebut akan dipasarkan dalam tahun depan. Selain itu, persembahan Wings di Planet Hollywood KL baru-baru ini juga turut dirakamkan untuk dikeluarkan dalam vcd, juga akan dipasarkan dalam tahun depan. Pilihan lagu-lagu dalam persembahan tersebut kebanyakannya daripada album Jerangkung Dalam Almari.

Kumpulan XPDC akan mengeluarkan album terbaru mereka tidak lama lagi, gabungan Mael, Izo, Zua dan Amy. Setakat ini khabarnya promosi lagu single pertama telah pun bermula di stesen-stesen radio. Satu lagi kumpulan yang bertungkus lumus dalam studio sekarang ialah Bumiputra Rockers, harapnya sebuah album akan keluar dalam 2008 nanti. Selain album, terdapat juga lagu-lagu kolaborasi dan juga single yang bakal terbit. Antaranya ialah single duet Amy Search bersama kumpulan nasyid Rabbani untuk lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur. Dan juga single duet Ella bersama Ruth Sahanaya diiringi oleh Man Keedal. Selain itu Ella turut merakamkan satu lagu baru yang akan turut dimuatkan dalam album kolaborasi berjudul Putih tersebut. Manakala album artis-artis baru yang aku nantikan ialah seperti album kumpulan Nrocinu (pemenang Rock Unite), album kumpulan Fenomena (pemenang Rentak Juara), dan juga khabarnya bakal hadir seorang penyanyi wanita yang dikatakan membawa muzik rock iaitu Maryanna yang juga akan mengeluarkan sebuah album. Sementara itu akhbar Harian Metro pada 13 Disember 2007 lalu membawakan tajuk berita 'Erra mahu sentuhan rock' di mana penyanyi pop Erra Fazira yang akan merakamkan album terbaru bersama syarikat Suria Records dilaporkan berkata "Kalau boleh saya sendiri mahu ada sentuhan rock dalam album terbaru itu nanti"

Dalam perkembangan lain, rancangan pertandingan band Rentak Juara musim baru tahun 2008 anjuran RTM akan bermula tidak lama lagi. Sekarang sedang berlangsung sesi ujibakat di seluruh negara. Adakah genre rock akan menguasai lagi? Jadual dan maklumat lanjut di www.rentakjuara.com. Selain itu musim terbaru rancangan muzik santai Fenomena Akustika terbitan RTM1 juga sudah bermula. Antara persembahan istimewa 'tanpa elektrik' yang akan dipaparkan ialah daripada OAG, MAY, Maman, Bumiputra Rockers, Pretty Ugly dan lain-lain. Rancangan tersebut biasanya disiarkan setiap Isnin bermula 8.45 malam (8.30 malam mulai 2008) di saluran RTM1 sekiranya tiada sebarang perubahan di saat akhir. Akhir sekali, akan muncul tidak lama lagi pertandingan Juara Lagu ke-22, 2007. Tarikhnya belum diketahui, tapi berkemungkinan pada awal tahun depan. Nantikan Jinbara yang bakal mempertandingkan lagu Farhana (Puteri Bumi Kenyalang) dalam kategori Pop/Rock.
-

22 Disember 2007
Kumpulan yang pernah dihidupkan beberapa kali sejak 1980-an dan pernah muncul memperjuangkan muzik rock dengan berbagai anggota kumpulan yang silih berganti, kumpulan itu dikenali sebagai SYJ. Kumpulan SYJ dihidupkan kembali pada 2007 oleh pengasasnya Syed Yusuf Jamalulail. Khabar yang mengatakan line-up asal SYJ (1986) akan bergabung semula akhirnya padam setelah kehilangan pemain dram Syed Eduat yang telah meninggal dunia. Susulan paparan Terjah oleh Melodi (TV3) pada awal tahun ini berjaya menjejak Alang (SYJ '90) yang akhirnya bergiat aktif semula untuk terus memperjuangkan nama SYJ. Untuk mengelakkan kekeliruan, mereka berkemungkinan tampil dengan nama SYJ 08. Video rakaman terbaru ada di www.youtube.com/SYJ08

Bagus juga dapat melihat beberapa band rock lama kembali menjadi penghias muka depan majalah seperti kumpulan Desire (majalah Konsert) dan Rusty Blade (majalah ROTTW). Ironiknya, seingat aku mereka (mungkin) tidak pernah muncul sebagai 'cover story' majalah-majalah hiburan ketika zaman kegemilangan mereka dahulu, maklumlah mungkin tidak begitu 'laku' wajah-wajah pejuang heavy rock seperti mereka. Desire secara senyap telah pun muncul dengan album terbaru yang sangat terhad pengedarannya, manakala Rusty Blade baru saja muncul gagah di pentas konsert Kuala Lumpur beberapa bulan lalu dan turut berjanji untuk merakamkan album terbaru.
-

19 Disember 2007
Tahun baru 2008 akan menjelang. Persembahan hiburan sering menjadi sajian untuk meraikannya. Antaranya ialah Konsert Gegar di Putrajaya pada 31 Disember 2007 anjuran RTM bermula pada sebelah malam membawa ke detik 12 malam, yang akan menampilkan persembahan kumpulan Khalifah, Mpire, Shamrin Fotograf, dan lain-lain. Sementara itu pada hari dan waktu yang sama di Ipoh, Perak akan menyaksikan sambutan tahun baru di Dataran Ipoh yang akan turut menampilkan persembahan SYJ 08! Manakala di Tapak Pesta Pulau Pinang juga turut akan berlangsung serentak persembahan XPDC yang akan disokong kumpulan rock anak muda Revenge bagi menyambut detik baru 2008. Perjuangan rock berterusan.

Pesta Pulau Pinang, sebuah acara tahunan yang pernah heboh dengan konsert-konsert rock sepanjang sebulan ia berlangsung sejak tahun 80-an lagi. Itu dulu, tahun ini turut menyaksikan banyak kumpulan rock dijemput untuk beraksi, namun ia tidak lagi bertaraf konsert seperti zaman kegemilangan dahulu. Apa yang pasti ngauman dan laungan rock terus bergema, lebih-lebih lagi ketika di penghujung acara di mana kumpulan-kumpulan terkenal bakal beraksi. Sejak bermula 29 November lalu, antara kumpulan yang telah beraksi ialah Def-Gab-C dan Kristal. Akan datang, saksikan berturut-turut Jinbara (20 & 21 Dis), Wings (22 & 23 Dis), MAY bersama O2 (24 & 25 Dis), Gabungan Tribute to JS Kevin - Joey BPR, Shamrin Fotograf, Mus MAY, Ali Mpire, Faizull (29 Dis), dan diakhiri oleh XPDC bersama Revenge (30 & 31 Dis). Semua persembahan secara percuma di Dewan Utama mulai 8.00 hingga 11.00 malam. Bayaran masuk ke tapak pesta akan dikenakan.

Mengimbas kembali acara pentas 2007 yang telah sempat ditinjau, nyata muzik rock masih gagah berdiri serta diberi kepercayaan walaupun dengan beberapa kelemahan penganjuran yang sepatutnya dapat dielakkan. Bermula Februari dengan showcase Ella di Planet Hollywood KL yang penuh sesak dengan para peminat, tambahan pula dengan penampilan istimewa Joe Wings di posisi gitar utama bergandingan dengan Edrie Hashim. Kehadiran Mac menyaksikan Konsert Rocks U di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, sebuah konsert yang menampilkan sistem bunyi dan lampu yang berkualiti, menghidangkan nama-nama besar Lefthanded, Wings, XPDC dan Amuk, namun publisiti yang lemah mengakibatkannya kurang sambutan. Bulan Mei menyaksikan persembahan yang boleh tahan bagusnya di Central Market KL, bertemakan 80's The Never Ending Rock Story, menampilkan beberapa band keluaran 'bawah tanah' antaranya Revenge yang begitu bersemangat mempersembahkan lagu-lagu lagenda rock 80-an, malah penghargaan turut diberikan kepada para otai rock lagenda yang telah diraikan bersama di atas pentas, sesuatu yang agak bermakna walaupun tidak terlalu meriah. September pula menyaksikan Rusty Blade kembali menggegar Stadium di Bukit Jalil dalam Konsert Gemilang Merdeka yang turut disertai oleh Lefthanded dan lain-lain artis rock. Walaupun tidak banyak persembahan yang berjaya disaksikan, terutama sekali Konsert 25 Tahun Search yang 'dibatalkan' pada Januari, namun 2007 membuktikan rock terus rock! Search akhirnya berjaya muncul dalam Konsert Selepas Banjir di Johor pada Mac, sesuatu yang tidak dijangka lebih awal. Lebih menarik apabila Search turut muncul di Planet Hollywood KL pada September lalu, satu penghormatan untuk para peminat yang hampir kecewa. Selain itu Wings juga dijemput bermain di tempat yang sama baru-baru ini dengan persembahan yang memuaskan, begitu juga XPDC yang berpeluang bermain di Dewan Jubli Intan, Johor baru-baru ini. Selain itu terdapat juga lain-lain persembahan rock yang berjaya diadakan di tempat-tempat kecil. Menghampiri akhir tahun, tiada apa yang kelihatan begitu memberi impak yang besar kepada arena rock tempatan, tapi secara keseluruhannya ini adalah satu tahun yang cukup bagus, mengambil kira penghasilan album/vcd, promosi dan persembahan pentas/TV.
-

18 Disember 2007
Terdapat beberapa keluaran terbaru di pasaran. Mula-mula daripada kumpulan Search yang hadir dengan album terbaru berjudul Live At Planet Hollywood. Album ini baru beberapa hari dipasarkan. Terdapat dalam format audio dan juga video (vcd) menampilkan 17 buah lagu. Ini adalah rakaman live pertama gitaris Hillary bersama Search, kebanyakan lagu-lagu juga adalah daripada album-album awal Search. Edaran Sony-BMG.

Yang kedua ialah vcd pertandingan akhir Ikon Malaysia yang juga baru dipasarkan. Walaupun beberapa band yang turut serta bertanding tidak dimasukkan dalam vcd ini seperti MAY & Jinbara, tetapi kemunculan Def-Gab-C sebagai wakil muzik rock membawakan 4 lagu tidak menghampakan. Selain itu terdapat juga band seperti Flop Poppy (4 lagu), OAG (5 lagu) dan Alleycats (2 lagu)! Turut dipaparkan ialah persembahan artis-artis pop masa kini. Edaran Life Records.

Album cover version terus-terusan dikeluarkan. Yang terbaru ialah Rock Dangdut yang menampilkan nyanyian terbaru Ary Fahrenheit, Yabang, Faizull (Malaysian Idol) dan Abot, manakala muziknya yang berperisa gelek berdistorsi berat dimainkan oleh XPDC (Izo & Amy). Seterusnya ialah album Classic Rock 2 yang menampilkan lagu-lagu oleh Dio, Deep Purple, Scorpions, Black Sabbath, Bon Jovi dan sebagainya yang dinyanyikan semula oleh Jatt, Yabang, Joey BPR, Shamrin Fotograf, Tajol FTG dan Asheed Def-Gab-C. Edaran Life Records.

Kumpulan Wings baru saja mengeluarkan album Teori Domino Revisited Jamming Session 07.1 yang menampilkan rakaman live studio terbaru semua lagu-lagu daripada album Teori Domino (1990) yang kini telah dibuat susunan muzik terbaru, dan dipersembahkan secara 'bebas', maksudnya tidak terlalu terkawal dan sempurna seperti rakaman studio yang biasa. Konsep sebegini boleh dianggap baru di Malaysia dan hanya artis yang berpengalaman luas seperti Wings berani menghasilkan album sebegini. Album Teori Domino yang asal juga turut disertakan sebagai bonus. Edaran EMI.

Veteran death metal Suffercation telah kembali ke akar mereka dengan kemunculan album terbaru As We Breathe edaran Interglobal Music tanpa sebarang publisiti. Sementara itu kumpulan lagenda metal 80-an Blackfire juga turut mengeluarkan album rakaman live lama mereka The Hereafter Live 1988, namun ianya hanya dipasarkan secara kecil-kecilan (www.myspace.com/blackfireofficial). Satu lagi keluaran album baru yang tidak kurang pentingnya ialah Salutant To King "Penghargaan Buat Sil Khannaz", juga dipasarkan dalam skala kecil oleh North Poem Records (NPR - www.myspace.com/nprmalaysia)
-

2 Disember 2007
Kumpulan Wings mengadakan persembahan di Planet Hollywood KL pada jam 10.30 malam.
-

21 November 2007
Saksikan persembahan kumpulan rock di Pesta Pulau Pinang 2007: Def-Gab-C (8 & 9 Dis), Kristal (15 & 16 Dis), Jinbara (20 & 21 Dis), Wings (22 & 23 Dis), MAY (24 & 25 Dis), XPDC bersama Revenge (30 & 31 Dis)
-

9 Oktober 2007
Saksikan rancangan TV sempena Hari Raya: Konsert Hayati (15 Okt, 8.30 mlm, TV9 - menampilkan Man Keedal, Ella, Hattan, Mus, Faizal Tahir) & Rock Kapak Raya Bersama XPDC (17 Okt, 9.00 mlm, TV9)
-

9 September 2007
Kumpulan Search mengadakan persembahan 'Malam Edan' di Planet Hollywood KL dengan penampilan istimewa Joe Wings.
-

17 Ogos 2007
Kumpulan Jinbara mengadakan persembahan dalam Patah Pusing Mini Showcase yang diadakan di Ruums Bar and Club, Life Centre, KL pada jam 8.00 malam.
-

16 Ogos 2007
Setelah mendapat pendedahan Melodi pertengahan tahun ini, Alang SYJ kembali menaikkan nama SYJ apabila menerima undangan mengadakan persembahan istimewa dalam gig kumpulan Revenge pada 5 Ogos lalu. Beliau membawakan lagu Hati Syaitan, lengkap dgn kostum yg erm.. pelik? Itulah SYJ. Seperti dijangka, gig tersebut tidak mendapat perhatian Melodi, tidak sensasi sepertimana kerja buruh di tengah panas.

Terbaru di pasaran ialah vcd/dvd Konsert Wings at Orange Club dan juga sebuah kompilasi Wings Dua Dekad edaran Sony-BMG.
-

9 Ogos 2007
Kumpulan Rusty Blade & Lefthanded mengadakan sidang akhbar pengumuman konsert mereka yang akan diadakan pada 1 September 2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert tersebut juga turut mengundang kumpulan Candy, Aku, Handy Black dan Royce bagi memeriahkan sambutan hari kebangsaan Malaysia yang ke-50 tahun.
-

3 Ogos 2007
Kumpulan Amuk baru saja mengeluarkan vcd yang berjudul Semakin Buas (Live At Planet Hollywood). Setelah keluar dengan versi audio, kini rakaman 'konsert' Amuk akhirnya dikeluarkan dalam format vcd. Ini bukanlah vcd mtv karaoke seperti yang disangkakan, ia sememangnya sebuah rakaman persembahan live. Cuma yang agak 'meruntun perasaan' apabila melihat hanya lima orang brader (mat rok) 'berpusu-pusu memenuhkan' depan pentas. Suasana yang agak sadis dan mengharukan dalam mana-mana 'konsert' rock. Walau bagaimanapun, Amuk/Bandi tetap berusaha memberikan persembahan terbaik mereka untuk tatapan ribuan penonton di rumah (atau di mana saja anda menontonnya). Begitu juga lima orang di depan pentas itu yang turut sama 'beraksi' head banging tanpa rasa janggal, terima kasih. Sebenarnya bukan 'konsert' ini tiada penonton, cuma tidak ramai yang menghampiri depan pentas, mungkin tidak mahu wajah mereka dirakamkan dalam vcd ini, mungkin juga mereka mahu menonton wayang tapi tiket habis maka terkandas di Planet Hollywood, haha. Walau bagaimanapun, vcd ini yang mempunyai 2 disc amat berbaloi untuk dibeli, rakaman bunyi dan muzik memang sedap hinggakan tak terasa seperti live sound. Pilihan lagu-lagu juga sama rata, terdapat sekurang-kurangnya satu lagu daripada setiap album Amuk, dari tertubuhnya Amuk pada 1998 hinggalah lagu-lagu terbaru daripada album 2 Juta. Artis undangan mereka ialah Aru ROB dan Mus MAY, memang otai geng-geng 80-an semuanya termasuklah Bandi. Mungkin ketika Febians dan MAY digabungkan dalam album Juara-Juara Rock '87 tidak pernah terjangka yang Mus dan Bandi akan akhirnya berduet dalam satu lagu 20 tahun kemudian. Dan kepada mereka yang tidak pernah melihat Febians beraksi, mungkin persembahan Bandi dalam lagu Untukmu Sayang adalah yang paling hampir akan anda saksikan. Walau apapun, kisah silam telah berlalu, kini Bandi terus memperjuangkan Amuk, di mana kali ini posisi pemain gitar menampilkan Ritz (Metalasia) dibantu oleh pemain bass Eddie (DGC). Pemain dram tidak dapat dipastikan, harap maaf, aku belum habis menonton vcd ini. Ni nak sambung tengok la ni...

Sebelum itu aku sempat juga layan vcd terbaru Rock Unite - Live In Concert (Vol. II). Cover hadapan vcd bahagian ke-2 ini menyerupai vcd sebelum ini, cuma sebelum ini dicetak Vol. I dan kali ini bezanya Vol. II. Perhatikan betul-betul cover vcd sebelum mendapatkannya. Dari segi produksi, vcd ini tidaklah sebagus mana, tapi bagus untuk dijadikan koleksi kerana produk sebegini tidak selalu dikeluarkan dan mungkin tidak akan dikeluarkan lagi selepas ini. Seperti sebelum ini tumpuan kita adalah terhadap juaranya iaitu kumpulan Nrocinu. Namun begitu, band lain juga membuat persembahan sehabis baik mereka, maklumlah, pertandingan. Tidak mahu ulas panjang, tiga perkataan saja: mereka semua rock!!
-

2 Ogos 2007
Banyak album-album baru yang telah aku layan, namun tak semua memuaskan hati. Ada juga yang menyakitkan hati & telinga. Salah satunya ialah album sulung kumpulan Akai-E-Bara berjudul Jelas Terbukti. Satu perkataan mampu aku bagi: bosan!! Album ini diterbitkan oleh Saari Amri, hampir semua lagu dicipta olehnya (dia guna nama-nama lain - Iraas Marliany, Fitri Amri, Iraas Irma. Amri Farizuan pun mungkin dia juga, jadi semuanya 9 lagu ciptaan nama-nama tersebut. Sebuah lagi lagu adalah ciptaan Sham). Vokal kumpulan ini bernama Shamir (bukan Yabang seperti yang dikhabarkan). Kumpulan Akai-E-Bara ini 'mungkin' kumpulan rock. Aku kata 'mungkin' sebab aku tak pernah tengok persembahan live mereka. Tapi, album Jelas Terbukti ini memang susah untuk dikatakan sebagai sebuah album rock. Letih sungguh untuk mendengar album ini sehingga habis. Betul seperti mana kata-kata seorang member, kalau anda kaki layan UK's, inilah album yang patut anda cari. Atau anda layan semua album Zamani/Slam ke bolehlah membeli album ini. Walau bagaimanapun, terdapat 3 buah lagu yang agak rock sikit, itu pun muziknya kedengaran stereotaip (susunan muzik oleh Idzar Azwa). Selebihnya ada 6 buah lagu slow leleh, dan sebuah lagu rancak 'poprock'. Penulisan lirik memang menyedihkan (lihat contoh di bawah). Aku terpaksa kesian pada Akai-E-Bara, itu pun kalau mereka sememangnya mahu bermain muzik rock, sebab mereka sebenarnya sudah di'tangkap' oleh Saari Amri, jadi sendiri mau ingat la. Aku akhiri ulasan bosan ini dengan serangkap lirik Saari Amri, daripada lagu Aku Jambatan Buatmu, perhatikan betapa lelehnya... aku nak taip pun rasa bosan semacam: "ku lihat kau dari jauh, bersama seorang kekasih, sejoli dan satu arah; aku di sini jadi pemerhati, tanpa ku sedar air mata ini, membasahi pipi oh...". Lelehhhh... hinggakan di dalam kulit album ini diletakkan gambar sekuntum bunga mawar.

Seterusnya album kumpulan Aku, sebuah lagi kumpulan baru. Judul album juga Aku. Cubalah anda dengarkan. Aku suka band AKU ini (nama band itu AKU, bukan aku punya band ok), dan album ini pun boleh tahan menarik. Masalahnya band AKU ini ialah mereka tiada pemain dram tetap. Untuk rakaman album ini kurang pasti sama ada mereka menggunakan sessionist atau drum machine. Dari segi kulit albumnya, pada pandangan aku memang menarik, luar dan dalam. Album AKU dikeluarkan oleh Apex Entertainment Network (sama seperti album Royce), dan konsep AKU menjurus kepada rock n roll, namun cara penyampaian vokalnya boleh dikatakan ke arah penyanyi-penyanyi modern rock, tidak agresif tapi menampilkan suara yang 'matang'. Perlu dinyatakan bahawa penyanyinya juga adalah pemain gitar kedua (sama seperti band Spider). Pemain gitar utamanya pula diketahui lahir daripada pengaruh GNR, Aerosmith, Wings, Padi dan lain-lain. Sepuluh buah lagu dalam album ini semuanya dicipta oleh Yuzz (penyanyi/gitar kedua), dan semua lirik juga ditulis oleh Yuzz kecuali dua lagu ditulis oleh karyawan lain. Malah penerbit album dan susunan muzik juga dilakukan oleh band AKU sendiri. Dan khabarnya AKU sudah pun membuat dua buah muzik video untuk lagu Aku dan Pernah. Mereka memang bersemangat tinggi, harap mereka akan berjaya.

Album seterusnya, daripada kumpulan Amuk, berjudul Bertemu Ruas. Ini adalah album 2 Juta yang dikeluarkan semula dalam pakej baru, berserta beberapa lagu baru. Kalau anda belum mempunyai album 2 Juta, lebih baiklah mendapatkan album Bertemu Ruas ini. Lagu baru Bertemu Ruas memang sedap didengar, ia diterbitkan oleh Yasin. Bagi aku Yasin berjaya menerbitkan sebuah lagu rock yang menarik dengan beberapa kelainan yang berjaya dimasukkan ke dalam muzik Amuk. Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Yasin itu mengandungi banyak bunyian keyboard, dan juga memasukkan sedikit efek pada vokal Bandi. Selain itu, sebuah lagi lagu baru ialah Kepang yang mendapat sentuhan pemuzik 'etnik' Mohar, sebuah lagi penggabungan pengaruh dalam muzik Amuk. Rakaman baru yang terakhir ialah lagu Aku Mahu Pulang, lagu lama daripada album Dikir Timur (2001) yang mempunyai mesej 'anti dadah', kali ini muziknya disusun semula setelah terpilih sebagai lagu tema Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Versi terbaru lagu itu boleh dikatakan semakin perlahan dan 'mesra pendengar' (tidak rock?) kerana ia akan digunakan secara meluas dalam kempen AADK di seluruh negara.

Album D' Cromok - VII Years VII Days Collection (Remastered) adalah sebuah album kompilasi keluaran semula yang bagus! Nampaknya EMI berjaya membeli kesemua album D' Cromok daripada InterGlobal (PonyCanyon - yang sebelum itu membeli daripada VSP). Jadi, sekarang ini semua jenama 'Cromok' menjadi khazanah EMI. Album ini telah menjalani proses digital mastering, menjadikan lagu-lagu lama D' Cromok kedengaran lebih bertenaga, soundnya lebih mantap dan jelas. Kalau sebelum ini kita cuma mendengar kedua-dua album D' Cromok melalui kaset, ataupun cakera padat edisi pertama secara berasingan, kini kesemuanya berada dalam satu album. Kompilasi ini adalah koleksi lengkap kedua-dua buah album D' Cromok (album pertama 7 lagu. album kedua 8 lagu. jumlah 15 buah lagu dalam satu album). Walau bagaimanapun, susunan trek lagu telah bercampur-campur tanpa mengikut susunan asal. Kulit album terbaru ini juga menarik pada pandangan aku, dan ia turut mengandungi kesemua lirik lagu. Malangnya gambar teraju utama Din tidak dimasukkan sekali. Sebelum ini, VSP ada juga mengeluarkan kompilasi D' Cromok dengan tajuk yang sama, tapi ia cuma mengandungi 14 buah lagu saja (tanpa lagu Adamaina). Jadi, kehadiran kompilasi ini memang ditunggu-tunggu. Dengarkan lagu wajib: Metallurgical II & Metallurgical III (Suite)

Album Ella - Rama-Rama II Edisi Emas adalah sebuah album keluaran semula tanpa lagu-lagu baru! Walaupun album Rama-Rama baru beberapa bulan berada di pasaran, tetapi kini EMI menyusun pula strategi baru dengan menggunakan 'taktik' Edisi Emas walaupun ia cumalah satu helah sahaja sekiranya tidak diperhatikan dengan teliti oleh para pembeli. Walau bagaimanapun, album ini akan tetap dijadikan koleksi oleh para peminat setia Ella (yang telah membeli album Rama-Rama), dan sememangnya amat sesuai untuk para peminat yang belum mendapatkan album Rama-Rama, kerana dengan harga yang sama, pembeli awal Rama-Rama akan mendapat 1 disc sahaja, tetapi Edisi Emas ini mengandungi 2 disc iaitu Disc 1: album Rama-Rama (10 lagu) dan Disc 2: lagu-lagu yang jarang ada dalam kompilasi sebelum ini, seperti lagu-lagu versi live (daripada album Demi), lagu-lagu instrumental (daripada album petikan gitar, Mentera Metal), serta satu lagu daripada album Diva Metal (Nuri), jadi keseluruhannya ada 10 lagu dalam Disc 2. Tidak mengapa sekiranya anda tidak mahu mendapatkan album ini, mungkin beberapa bulan lagi akan muncul pula Rama-Rama versi VCD Karaoke? Lebih banyak pilihan lebih bagus? Atau lebih hebat lagi sekiranya (masukkan doa di sini) vcd versi live Ella di Planet Hollywood boleh diedarkan, hah itu baru betul-betul Edisi Emas Tulen!

Kumpulan Kristal kembali dengan album Rockafella. Cover album yang cantik lagi menarik, termasuklah gambar-gambar di dalam, sound pun sedap.. tapi sayang, semuanya lagu-lagu cover!! Lihat senarai lagu: SMS (asalnya lagu dangdut nyanyian Ria Amelia, penyanyi Indonesia. perkataan Bang telah ditukarkan kepada Dik); Memburu Impian (lagu nyanyian Kazar daripada filem Gila-Gila Remaja); Kasihku (kedengaran seperti lagu cover daripada Thailand saja, liriknya telah ditukar.. judul lagu asal tak dapat dipastikan); Zakiah (pernah juga di-cover oleh Sweet Charity. kalau tak salah penyanyi asalnya Achmad Albar.. kurang pasti); Memikat Hati (kalau tak salah nyanyian asal R. Azmi dalam tahun 50-an); Janji (nyanyian asal penyanyi veteran S. Roha); Madu Dan Racun (lagu pop Indonesia 80-an, penyanyi asal kurang pasti); Pujaan Hati (tak dapat pastikan penyanyi asalnya); Aku Semut Merah (pernah dengar lagu asal, kurang pasti, mungkin dari Indonesia juga); Basikal Tua (lagu nyanyian Sudirman). Itulah 10 lagu nyanyian semula dalam album ini. Kalau sesekali keluar album sebegini, mungkin tidak mengapa. Tapi, Kristal sebelum ini baru sahaja mengeluarkan album Rock Yeh Yeh (rakaman semula lagu-lagu Pop Yeh Yeh 1960-an), jadi kehadiran album cover penuh Rockafella ini telah memberi sedikit tanggapan yang kurang sedap didengar kerana mereka juga dikatakan sebagai pelapis band rock tempatan yang sedang meningkat naik (mungkin mereka terpengaruh dengan tindakan XPDC tidak lama dulu?). Perlu diingat, sekiranya sesebuah band itu meningkat popular hanya dengan lagu-lagu cover/saduran sahaja, ia mungkin akan menjejaskan nama band itu untuk jangka masa panjang. Berita terbaru pula, Rockafella MTV Karaoke juga telah diedarkan, dan agak menarik juga apabila pembeli awal vcd ini turut diberikan secara percuma vcd filem Gila-Gila Remaja yang popular pada tahun 80-an.

Album kompilasi pelbagai artis berjudul Tangisan Di Gelanggang Fana (A Tribute To JS Kevin) ini bukan setakat menampilkan para penyanyi terkenal saja yang memberi penghargaan (tribute) kepada JS Kevin seperti mana terteranya wajah-wajah mereka pada kulit album, malah terdapat ramai pemuzik rock terkenal yang terlibat membuat susunan muzik dalam album ini. Antaranya ialah Opie Bloodshed yang bermain gitar dalam dua buah lagu. Selain itu, pemain gitar dan pemuzik lain yang terlibat ialah seperti Izo XPDC, Samad, Stone Barongan, Joe (tidak dapat dipastikan Joe mana, sekadar ditulis Joe saja dalam kulit album), Alfa, Ujang (dram), Yan (bass) dan ramai lagi. Itulah sebenarnya keistimewaan album ini yang tidak hanya bersandarkan kepada penyanyi popular sahaja. Setelah mendengar album ini yang memuatkan keseluruhannya lagu-lagu 'baru' (sudah lama dicipta, tapi tidak pernah dirakamkan) ciptaan JS Kevin, kita boleh merasakan semangat rock era 90-an meresapi hampir dalam setiap lagu-lagu tersebut. Sudah tentunya pengaruh JS Kevin yang paling terasa sekali dalam setiap persembahan lagu dalam album ini, ditambah pula dengan nyanyian bertenaga para penyanyi lama mahupun baru (antara persembahan yang menarik perhatian aku ialah Joey BPR, Ali Mpire, Faizull Rock Orang Kampung dan beberapa lagi), dan pastinya susunan serta permainan muzik para pemuzik handalan yang semuanya berpengalaman luas dalam arena rock 80/90-an telah berjaya menambah 'perisa rock' dalam setiap lagu yang dimainkan. Maka, gabungan semua karyawan tersebutlah yang telah menjadikan album ini suatu hasil yang memuaskan. Dan sudah tentulah usaha Harun BPR sebagai penerbit yang menerajui rakaman album ini amat wajar dihargai. Bagi para pendengar baru yang kurang serasi dengan karya JS Kevin, mungkin album ini kedengaran agak 'lama' seperti hasil rock dulu-dulu, tapi itulah yang mereka dan kita mahukan sebagai menghargai karya JS Kevin. Dalam kulit album ini juga terdapat sedikit sejarah JS Kevin (biografi ringkas), berserta dua gambar beliau yang pada pandangan aku pihak penerbit patut mendapatkan gambar yang lebih lebih menarik, misalnya gambar-gambar zaman awal JS Kevin (zaman rock beliau) yang sungguh jarang dapat disaksikan.

Setelah mendengar album terbaru Spider - Bintang 12 ini, apa yang dapat diperkatakan ialah album ini sekadar biasa-biasa saja. Tiada yang terlalu istimewa, walaupun lagu-lagunya tetap sedap didengar dan boleh layan punya (terutama time nak tidor, haha). Seperti mana album-album yang lepas, Spider diketahui tidak memainkan muzik yang terlalu berat (lebih kepada muzik-muzik rancak - kugiran?), manakala untuk album terbaru ini pula susunan dan permainan muzik mereka telah sengaja dibuat menjadi lebih ringkas, alasannya kerana mereka mahukan lagu-lagu terbaru ini semuanya bersesuaian untuk dipersembahkan secara live tanpa perlu menggunakan pemuzik undangan seperti album-album sebelum ini yang disulami bunyian keyboard, saksofon dan sebagainya. Kali ini muzik mereka sememangnya ringkas, tapi tetap bermutu. Album ini 'ok' (bagus), ia cuma tiada pembaharuan sahaja, dan pada sesetengah pendengar mungkin agak membosankan untuk mendengar album ini dari mula hingga tamat (terutama sekali kepada kaki rock-keras. album ini bukan untuk anda). Dari segi lagu-lagu slow/ballad, hasil terbaru kali ini seharusnya mampu menandingi lagu-lagu popular mereka sebelum ini (ya, ia memang sedap). Walau bagaimanapun, jangan berharap lagi untuk dapat melihat para penonton melompat-lompat riang pada kemuncak lagu Aladin seperti dulu, lagu-lagu kali ini mungkin sekadar mengundang anggukkan kepala secara santai sahaja :)

Kumpulan Mpire akhirnya mengeluarkan album sulung mereka yang juga berjudul Mpire. Setelah terperam beberapa lama, khabarnya sejak hujung tahun lepas, album yang diterajui oleh Ali (XPDC/Terra Rossa) ini mula diedarkan baru-baru ini. Aku belum mendapatkan album ini, tetapi sedutan setiap lagunya di laman web Life Records kedengaran menarik. Seperti biasa terdapat lagu cover, seolah-olah satu lagu penyelamat sekiranya lagu-lagu ciptaan terbaru tidak mampu menarik minat pembeli, macam plan B pula, kena ada juga dalam mana-mana projek atau rancangan besar? Tapi, tidak mengapa, Ali kan sudah biasa dengan lagu-lagu cover, terima kasih kepada siri-siri konsert XPDC dan metal 60-an. Walau bagaimanapun, ini tetap album yang aku nantikan untuk mendengar sepenuhnya tidak lama lagi.

Akhir sekali aku ingin menyebarkan cerita tentang album terbaru Modar berjudul In My Meditation Time. Mereka adalah sebuah kumpulan doom metal lagenda dari Terengganu. Otai!! Ini adalah album kedua mereka setelah album Inferior Symphony pada 1992! Walau bagaimanapun, album ini tidak dipasarkan secara meluas, maklumat lanjut terdapat di Ricecooker Zine.
-

28 Julai 2007
Kumpulan Junction mengadakan persembahan reunion mereka di Karnival Setapak Jaya, KL. Mereka masih mengekalkan penyanyi Hatta dan dua anggota asal, manakala dua lagi anggota baru terpaksa diambil bagi membantu projek khas tersebut.
-

10 April 2007
Anugerah Industri Muzik Ke-14, 2007 akan berlangsung pada 28 April jam 8.30 malam di PWTC, KL & saluran ntv7. Senarai penuh pencalonan AIM14 baru saja diumumkan. Ada beberapa kategori yang mungkin menarik untuk diperhatikan. Kumpulan Kristal membuktikan album-album mereka tidak patut dipandang sepi apabila tercalon dalam beberapa kategori bersaing dengan nama-nama besar. Persaingan kategori Album Hard Rock Terbaik juga menarik walaupun produk lagu-lagu baru cuma diperjuangkan oleh Search & FTG dan sedikit daripada Amuk yang turut merakamkan semula lagu-lagu penyanyi lain, begitu juga album lagu-lagu 60-an daripada Kristal, dan album lagu-lagu persembahan live daripada Lefthanded yang sememangnya semuanya berkualiti walaupun lagu-lagu mereka bukanlah yang terbaru. Bagi kategori Vokal Terbaik, nampaknya Saleem diiktiraf lagi sebagai calon akhir, sesuatu yang diharap membakar semangatnya untuk album seterusnya. Sementara kategori Artis Inggeris Terbaik pula menyaksikan sebuah kumpulan punk/oi, Steeltoe Solutions, berjaya ke pencalonan akhir. Walau apa pun keputusannya, diharapkan akan ada juga sebuah persembahan rock pada malam anugerah nanti.

Calon-calon kategori Album Pop Rock Terbaik ialah Kristal (album Analogi), Saleem (Epigoni), Chobib (Gor...renng Jer), Sofaz (Janjiku) dan M. Nasir (Sang Pencinta). Manakala calon-calon kategori Album Hard Rock Terbaik ialah Amuk (album 2 Juta), Search (Gothik Malam Edan), FTG (Kuasa), Lefthanded (Live & Unplugged at Planet Hollywood 06) dan Kristal (Rock Yeh Yeh 60'an)
-

9 April 2007
Ada 4 buah album yang baru aku beli. Pertama, album Jinbara - Patah Pusing. Album ini pada pendengaran aku bukanlah album terbaik mereka. Setelah bertukar penyanyi, 'rentak' mereka juga seakan sudah bertukar. Mungkin pada pendengar-pendengar baru akan lebih mudah menerima album ini. Namun ada juga beberapa lagu yang berjaya menarik pendengaran aku, tapi yang pastinya ia bukanlah single pertama, Farhana, yang mana setelah didengar lagu tersebut berulang kali, timbul rasa jemu yang tak sepatutnya berlaku. Aku harap ada usaha bersungguh-sungguh selepas ini untuk terus mengekalkan nama Jinbara ini di dalam arena rock tempatan.

Kedua ialah album Bob KU2 & Brudu - "Ini Baru Rock!!!". Gabungan nama yang tidak asing lagi, Bob KU2, dan nama yang memang asing, Brudu. Kumpulan baru Brudu tampil berganding bersama Bob sebagai vokalis mereka, dan album ini ialah hasilnya. Lukisan kartun pada kulit album menggambarkan rentak muzik rancak dan ceria mereka. Apa yg paling menarik ialah penampilan istimewa artis-artis yang dijemput bagi memeriahkan album ini. Ada Tajul FTG yang membawa suara garau 'metal'nya dalam trek pertama, dan ada gitaris handalan Kid (yang masih diperkenalkan sebagai Kid Search!) yang membawa riff berat dan solonya dalam dua lagu bagi mengubat kerinduan peminat. Selain itu ada juga suara Apek Senario ('tokey' album ini), Cat Farish, Shades dan lain-lain. Sesuatu yang kurang 'membanggakan' dalam album ini ialah lagu-lagu saduran, yang aku kira terlalu banyak. Pada mulanya aku terasa seperti mendengar album ABoi di awal-awal dahulu (pemilihan lagu dan rentak muziknya). Tapi, lagu-lagu yang sudah terkenal itu sememangnya diakui menghiburkan, walaupun penggemar muzik akan melihat itu sebagai kurangnya usaha (dengan mengambil jalan mudah) dalam sesebuah penerbitan album baru.

Seterusnya ialah album Hattan - Masterpiece. Setelah album penghargaan kepada M. Nasir (lama dahulu, dengan album Mentor), kini Hattan membuat album yang hampir serupa untuk Ramli Sarip pula. Menggunakan formula yang sama yang telah terbukti laris pada suatu masa dulu, album terbaru ini boleh saja dilihat sebagai 'kurang idea baru' dan seperti mana dengan album-album kompilasi lain, 'membuat untung dengan lagu-lagu popular lama'. Album ini bukan tidak bagus, cuma aku tidak terasa 'masterpiece'nya, mungkin kerana idea ini telah digunakan berpuluh kali oleh lain-lain artis, Hattan sendiri pun pernah terbabit dalam album Tribute Ramli Sarip (dengan pelbagai artis). Album baru ini bukan hanya menghargai karya solo Ramli, tapi banyak juga lagu-lagu Ramli bersama Sweet Charity dirakamkan semula, yang aku rasa amat patut di'angkat' bersama-sama nama Sweet Charity dan bukannya Ramli Sarip seorang. Satu lagu baru dalam album ini mungkin lagu terbaik pada pendengaran aku (cuma judulnya, Keliru megelirukan peminat Ramli Sarip yang sudah tentu menyangka ia lagu "Keliru", tetapi ia bukan lagu "Keliru" yang kita tahu itu, cuma judulnya sama). Penampilan penyanyi-penyanyi undangan pula sekadar membuka ruang pasaran kepada para peminat pop, contohya lagu duet Kita Insan Biasa menampilkan Kat Mentor yang tidak membawa apa-apa impak atau kekuatan (lagu asalnya memang satu 'masterpiece', tetapi tidak dalam album ini). Walau bagaimanapun, kehadiran Ramli Sarip berduet dengan Hattan dalam lagu Bukan Kerna Nama amat sangat dinantikan bagi menyempurnakan album ini.

Akhir sekali, aku melayan album Iklim & Frenz - Nuansa. Label 'rock metal' pada kulit album ini menimbulkan tanda tanya pada mulanya. Tanpa sebarang promosi, aku terlihat album ini di pasaran, dan terpampangnya nama-nama seperti Mus MAY, Joey BPR & Yantzen menyanyikan lagu-lagu popular Iklim menambahkan perasaan 'ingin dengar' pada album ini. Okay, album ini ialah projek khas Umarul, Mohalim, Kama & Huzali, para pemuzik asal kumpulan Iklim, yang aku rasa bertujuan untuk mengekalkan populariti nama Iklim dalam zaman 'artis realiti tv' sekarang ini. Tetapi, tanpa penyanyi, tanpa Saleem, bagaimanakah mereka mahu meneruskan projek ini? Ya, seperti mana Wings & Superfriends suatu ketika dahulu, kini muncul Iklim & Frenz. Selain nama besar di atas, album ini juga menampilkan Aris Ariwatan, dan penyanyi baru Faizal AF (sekarang percayalah kita ke mana album ini mahu dipasarkan). Khabarnya Faizal juga dari Terengganu (tempat asal Iklim), dan dia diberi peluang merakamkan semula lagu paling popular Iklim, Suci Dalam Debu, malah dengan suara dan cara nyanyian yg dibentuk supaya serupa dengan Saleem! Satu kesilapan besar nampaknya, untuk nama baru yang masih mencari identiti sepertinya. Selain itu, penyanyi lain semuanya diberi peluang merakamkan masing-masing 2 lagu popular Iklim. Yang paling istimewa, ada sebuah lagu medley yang diselang-selikan dengan suara Umarul & Mohalim yg mendendangkan lagu-lagu loghat Terengganu (seolah-olah rap bercampur dikir barat), yang mana ia merupakan lagu terbaik album ini. Kembali pada label 'rock metal' tadi, 'Iklim versi baru' ini membawakan Selamat Tinggal Penderitaan, Hakikat Sebuah Cinta, Bukan Aku Tak Cinta dan sebagainya dalam tempo yang lebih rancak, dan penuh dengan riff gitar yang lari jauh dari lagu-lagu asalnya. Kepada sesetengah peminat, mungkin mereka (Iklim) 'berjaya' merosakkan keaslian lagu mereka sendiri.
-

11 Mac 2007
Aku telah menonton dua vcd yang baru keluar ini, mula-mula Rock Unite - Live In Concert. Satu usaha yang bagus dalam menerbitkan vcd kompilasi ini kerana sekurang-kurangnya usaha keras setiap peserta pertandingan akhir Rock Unite kini boleh menjadi koleksi para peminat dan peserta itu sendiri. Untuk menanti bilakah produk terkini mahupun album atau rakaman terbaru setiap peserta mungkin mengambil masa yang lama ataupun tidak akan terjadi langsung. Juara pertandingan, Nrocinu yang telah dijanjikan rakaman album juga mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan produk mereka, apa lagilah peserta-peserta lain. Jadi, diharapkan akan terus dikeluarkan vcd sebegini dalam bahagian dua, tiga dan seterusnya. Agak menarik juga bila sebuah kumpulan undangan dari luar negara turut ditampilkan dalam vcd ini. Mungkin untuk vcd seterusnya (kalau ada) boleh menampilkan pula kumpulan-kumpulan undangan tempatan seperti mana yang telah ditayangkan di TV dahulu, di mana persembahan istimewa mereka ketika itu tidak dapat disiarkan sepenuhnya kerana tidak mencukupi masa siaran.

Yang kedua ialah vcd Rock The World 6, 2005. Rakaman ini mungkin agak lewat dipasarkan atas sebab-sebab tertentu. Sebuah rakaman yang bagus dan berkualiti sebenarnya, cuma ia menjadi semakin tidak bagus apabila terlalu banyak band mahu ditampilkan dalam cuma sebuah cakera padat! Sekurang-kurang perlu diterbitkan dvd atau pun dua cakera vcd baru berbaloi untuk persembahan yang sebanyak ini. Apa gunanya sesebuah persembahan live seperti konsert RTW ini sekiranya kita tidak dapat menonton sesebuah lagu itu sehingga ke penghujungnya, di mana pada penghujung lagu dan persembahan itulah yang akan menimbulkan satu kepuasan apabila muzik berhenti dan seterusnya mendapat reaksi para penonton. Itu semua tiada dalam vcd kali ini, kerana semuanya telah di fade-out bagi memberi laluan kepada lagu seterusnya dan seterusnya dan seterusnya... ya, memang banyak lagu dan memang banyak persembahan yang ingin ditunjukkan dalam cuma satu jam lebih sahaja. Tapi, sekiranya persembahan itu tidak ditamatkan, rasa macam satu kerugian. Apa pun, aku amat tertarik dengan beberapa pemilihan lagu instrumental live kali ini. Mungkin kerana tempohnya yang pendek berjaya menarik perhatian penerbit vcd ini kerana mampu menyiarkan banyak lagu? Apa pun alasannya, ia memang pilihan yang menarik, contohnya persembahan Deja Voodoo Spells dan beberapa lagi kumpulan lain yang memainkan lagu-lagu instrumental. Harap vcd siri terbaru nanti akan lebih bagus suntingannya daripada ini.
-

10 Mac 2007
Kumpulan Search telah mengadakan Konsert Selepas Banjir di Stadium Tertutup MBJB, Johor.
-

9 Mac 2007
Pencipta lagu Biru Mata Hitamku, Andi Rahman meninggal dunia pada 2 Mac 2007. Pencipta lagu yang kurang dikenali ramai itu walau bagaimanapun telah banyak menyumbang bakti untuk kumpulan-kumpulan rock tempatan zaman kini dan beliau mempunyai identiti penciptaan yang tersendiri serta patut mendapat penghargaan yang sewajarnya ketika beliau masih ada.

Pada 3 Mac 2007, kumpulan Wings muncul dalam sebuah konsert di Pulau Pinang dengan penyanyi Mus kerana Awie tidak dapat turut serta. Ia seolah-olah sebuah reunion, dengan persembahan lagu-lagu seperti Biru Mata Hitamku (versi 'elektrika'), Blues Ular Sawa, Julang Timur Tengah, Semalam Yang Hangat dan lain-lain. Sengketa lama telah dilupakan, mereka bersatu di dalam rock!

Joe Wings berkemungkinan akan menjadi pemain gitar undangan dalam konsert Search di Johor pada 10 Mac 2007 nanti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Edrie Hashim (pemain gitar undangan Search - yang menyertai Jom Heboh di Kuantan?). Joe juga baru sahaja mengiringi dua persembahan Ella di Planet Hollywood pada bulan lepas (turut bersama beliau ialah Edrie Hashim!). Dunia rock kita semakin bersatu...

Kumpulan Lives yang dianggotai oleh Kid & Din (gitar), Yan (bass) & Lola (drum) berkemungkinan menggunakan khidmat Moq (bekas penyanyi Search/Rampage)! Ya, sesuatu sedang berlaku dalam dunia rock kita... nantikannya.

Stesen TV RTM dilihat semakin terbuka dalam menampilkan artis dan pemuzik rock sejak awal tahun ini. Misalnya seperti: penampilan Shahrul (Ekamatra) sebagai pengarah muzik dan pemain gitar iringan kepada artis-artis solo dalam rancangan Fenomena Akustika, rancangan yang turut menjemput beberapa kumpulan muzik dan berkemungkinan akan menampilkan pemain gitar terkenal Kid & Din tidak lama lagi; penyiaran rakaman Konsert Gigarto yg menampilkan Bumiputra Rockers, XPDC, Wings, Samad dan lain-lain tanpa mengikut sebarang protokol; penampilan Bumiputra Rockers dalam segmen nostalgia rancangan Selamat Pagi Malaysia secara langsung; satu demi satu artis dan kumpulan rock muncul dalam rancangan hiburan mingguan Zoom In; paling mengejutkan penampilan Muix (penyanyi Metalasia) dalam rancangan Down Memory Lane walaupun sekadar menyampaikan lagu-lagu nostalgia silam.

Rancangan Muzik-Muzik (TV3) kini telah menukarkan kembali kategori Pop Rock kepada Pop/Rock. Apa bezanya hanya perlu kita nantikan, mungkinkah ia hanya sekadar tukar nama atau benar-benar membuka kembali ruang untuk lagu-lagu berat bertanding? Selain itu rancangan tersebut juga akan mula mengetengahkan kumpulan-kumpulan muzik 'indie' yang seolah-olah terpinggir selama ini. Mungkinkah ini satu perubahan atau peningkatan yang bagus? Yang pasti lebih ramai penonton boleh menonton kembali Muzik-Muzik yang kini bersiaran di sebelah malam seperti suatu ketika dahulu.
-

8 Mac 2007
Ada beberapa album terbaru di pasaran yang menarik perhatian aku. Pertama sekali ialah album Wings - Alive 2006 (The Legend Arises). Album ini tidak menampilkan sebarang lagu baru, cuma sekadar rakaman terbaru lagu-lagu lama secara live. Walau bagaimanapun album ini buat pertama kalinya menampilkan Awie menyanyikan beberapa lagu yang pernah dinyanyikan oleh Mus dan Mel. Kualiti produksi memang di tahap yang memuaskan secara keseluruhan walaupun kadang-kadang suara nyanyian Awie agak tenggelam atas beberapa masalah dan juga pada masa-masa tertentu suara beliau juga ditenggelami oleh nyanyian penonton! Mungkin itu yang menyiksakan para peminat Wings yang terpaksa menanti lama bagi mendapatkan versi VCD pula bagi menyaksikan betapa berpengaruhnya kumpulan ini kepada arus rock tempatan dulu dan kini. Tahun ini menyaksikan ulangtahun ke-20 Wings sejak kemunculan album Belenggu Irama (1987) dan album Alive 2006 ini adalah hadiah terbaik buat kita.

Seterusnya ialah sebuah album penghargaan berjudul Hail To The King - A Tribute To Cromok. Sebuah album kompilasi yang menarik, menyaksikan susunan semula lagu-lagu Cromok mengikut kreativiti tersendiri kumpulan-kumpulan metal dan underground tempatan serta nama-nama yang agak terkenal seperti Amuk. Antara kumpulan lain yang terlibat ialah Sil Khannaz, Langsuyr, Malex dan banyak lagi. Pilihan lagu-lagu mereka memang antara yang terbaik, cuma aku agak terkilan dengan tersenarainya lagu Seakan Menguji oleh Amuk yang mana ia bukanlah sebuah rakaman terbaru malah dilihat sebagai alasan untuk menyelitkan lagu berentak perlahan. Tak mengapa, kita boleh skip trek kedua itu. Lagu pilihan terbaik pada aku ialah Misery persembahan Langsuyr, yang seakan cuba lari dari pengaruh Cromok, tapi tetap kedengaran segar pada telinga aku walaupun tahap 'keganasan' itu telah dikurangkan. Walau apa pun yang dipersembahkan dalam album ini, yang penting Cromok akhirnya telah mendapat pengiktirafan yang sewajarnya dari kelompok yang mengerti apa itu metal.

Akhir sekali ialah album baru kumpulan Jinbara yang berjudul Patah Pusing. Aku suka muzik dan lagu-lagu mereka dalam album sebelum ini. Mereka bukanlah sebuah kumpulan rock yang terlalu hebat, tapi tidaklah pula tidak bagus. Ada kualiti-kualiti tertentu yang aku suka dalam album terdahulu, antaranya penciptaan lagu, susunan muzik dan juga lirik-lirik mereka. Album terbaru ini memang baru saja dikeluarkan dan aku pun belum sempat mendapatkannya lagi.
-

25 Februari 2007
Sunday Nite Live bersama Ella telah berlangsung di Planet Hollywood, KL.
-

11 Februari 2007
Ella mengadakan persembahan di Planet Hollywood sempena pengeluaran album terbaru beliau.
-

3 Februari 2007
Konsert Rentaq Serantau yang menampilkan kumpulan Search dan Ella berserta artis Indonesia telah berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam.
-

1 Februari 2007
Kumpulan Amuk telah mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe Singapura dalam festival muzik Asean Rocks sempena penubuhan Asean yang ke-40 tahun.
-

23 Januari 2007
Ella telah mengeluarkan album terbaru beliau berjudul Rama-Rama. Album ini sekadar memuatkan 4 lagu baru termasuk single Rama-Rama, ia bukanlah sebuah album studio penuh walaupun mengandungi 10 lagu. Lagu-lagu selebihnya ialah 4 lagu cover rakaman terbaru dan juga single Rama-Rama (radio edit). Lagu terakhir ialah Percaya Diriku yang merupakan single kedua daripada album soundtrack Gol & Gincu (2005). Mengikut siaran akhbar, lagu-lagu terbaru Ella itu menampilkan sound 'etnik rock' - tapi aku tak dapat komen lebih kerana belum berjumpa album ini di pasaran.
-

3 Januari 2007
Konsert Search 25 Tahun yang dijadualkan pada 5 Januari 2007 di Stadium Merdeka KL telah digantikan dengan konsert Slank setelah kumpulan Search menarik diri akibat perselisihan faham dengan pihak penganjur konsert tersebut.
-

www.muzikrock.com

 


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2010
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut

BERKHIDMAT UNTUK ROCKERS