SENARAI ARTIKEL & ULASAN

MuzikROCK
Dulu, kini & selamanya... muzikrock.com
Kembali

Helter Skelter nyanyikan "Bila Mama & Papaku Rock & Roll"
oleh Nas Ahmad

Muzik Hard Rock nampaknya semakin digemari ramai. lanya adalah suatu dari rangkaian muzik rock yang bersifat tidak terlalu heavy dan tidak terlalu slow. Muzik jenis ini senang didengar, difahami dan sesuai untuk semua pendengar. Selepas Ramli Sarip, Lovehunters, dan sebagainya, kugiran Helter Skelter kini muncul dalam golongan yang sama. Album solo pertama mereka edaran Life Records kini sedang mendaki ke puncak pasaran. Dalam masa 3 bulan pertama pengedaran album, telah meraih taraf gold disc. Tahniah kepada anggota Helter Skelter dan penerbitnya, Razzi M.

Di manakah letaknya keistimewaan album ini? Paling ketara ialah pada susunan muziknya yang rapi, pemilihan lagu-lagu yang tepat, dan persembahan yang mahir. Segala ini secara tak langsung telah menutup kenyataan bahawa Helter Skelter adalah sebuah kugiran yang baru saja menghasilkan satu album solo! Dari sudut lirik lagu, Helter Skelter tidak bertumpu pada soal cinta-cinta belaka. Liriknya lebih kepada asuhan moral dan ketuhanan. Menjadikan semua lirik dalam album ini bermutu. Pendengar bukan saja dapat hiburan kosong tapi dapat juga manfaat yang lain di sebaliknya. Hanya 2 buah lagu cinta terdapat dalam album ini iaitu 'Pencuri Hati' dan 'Dayang'.

Raja Azman penyanyi utama Helter Skelter punyai suara yang sesuai untuk muzik hard rock. Suaranya berada dalam nada E Minor dalam lagu bernada tinggi dan turun kepada D Sharp Minor dalam lagu bernada rendah. Untuk menangkap selera peminat muzik thrash metal - sebuah lagu berentak ini diselitkan sebagai lagu akhir. Lagunya 'Pesta Rock' adalah saduran dari lagu barat 'Clash Course In Brain Surgery' oleh kugiran Budgie tapi dipopularkan oleh Metallica. Lagu ini hanyalah kajian, untuk mengukur sejauh mana penerimaan pendengar terhadap muzik Thrash cara Melayu.

Kehadiran Azhar Abu Bakar sebagai pemuzik jemputan (sessionist) dalam album ini memang berfaedah. Persembahan sintisizernya dalam lagu 'Menara Kehidupan' telah menambah kesegaran lagu itu. Alat sintisizernya itu telah dihubungkan kepada Midi untuk menghasilkan bunyi yang lantang (macam bunyi orkestra).

Ada suatu yang agak kelakar. Kalaulah emak dan bapa anda selalu bertekak, bertegang urat, diiringi dengan periuk, belanga terbang melayang-layang, diputarkan saja lagu 'Bila Mama Dan Papaku Rock And Roll' dari album ini. Mungkin liriknya boleh meredakan keadaan. Lagu 'Kejar Bayangan' hanya menggunakan akoustik gitar, bass, dan lead di awal lagu. Drum hanya digunakan sebentar iaitu pada muzik penutup laqu ini.

Dari lagu dan persembahan, sampai pula pada ilustrasi album. Album ini punyai gambar ilustrasi yang unik. Terdapat sekuntum bunga berwarna emas di sini, sebagai simbolik Helter Skelter yang bagalkan bunga yang baru berkembang, warna emas melambangkan harapan mereka agar album ini sekurang-kurangnya pun mencecah gold disc. Nampaknya harapan mereka itu telah pun jadi kenyataan. Ilustrasi unik ini dilukis oleh Manaf - pemain gitar utama dan ovation acoustic kugiran ini. Beliau juga adalah seorang graphic designer di sebuah syarikat swasta Singapura dan pernah ikuti kursus grafik di Nanyang Fine Arts. (M. Nasir dan S. Amin Shahab dulu pun pernah belajar di sini).

Album ini mengambil masa setahun untuk disiapkan. Tak hairanlah mengapa kualitinya baik!

15 Oktober 1989 URTV


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2008
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut