SENARAI ARTIKEL & ULASAN

MuzikROCK
Dulu, kini & selamanya... muzikrock.com
Kembali

'Perawan Kota' Brainwash
oleh Nas Ahmad

Kari Penang, Laksa Penang, Rojak Penang, semua tu kita dah pekena, punyalah sedap sampai tak puas makan sepinggan. Bila tak pekena seminggu mulalah rindu-rinduan, yeah! Oitt, apa kata sekarang kita pekena rock Penang pulak, kita rasa penangannya, hebat tak? Dari Penang munculnya kumpulan Brainwash yang baru saja melahirkan album sulung bertajuk Menanti Kepastian keluaran EMI.

Mula-mula sekali bila tengok kaset mereka kita termenung tengok gambar depan kaset ni. Wow, cantik! Gambar ilustrasi seekor sotong gergasi, bidadari cun berdiri tercegat kat kepalanya, entah mambang mana agaknya tu. EMI memang selalu pakai gambar-gambar illustrasi fantasi macam ni untuk gambar depan kaset-kaset keluarannya. Sebelum ni kita dah tengok gambar-gambar fantasi di album Ekamatra, Bloodshed, Alfa, Arab & Aidit, dan banyak lagi. Good idea, keep it up!

Tengok pada gambar album yang 'garang' tu tentu ramai yang sangka Brainwash main heavy metal. Ya, Brainwash memang kumpulan heavy metal, tapi cuma di konsert aja. Lagu-lagu mereka dalam album ni tak heavy sangat. Vokalis kumpulan ini Zafe kata mereka terpaksa main rock lembut dalam album ni untuk jaga pasaran. Kalau diturutkan hati mau aja mereka belasah heavy metal sahaja. Lagu heavy yang selalu mereka bawa di konsert ialah Heavy Chains (Loudness), dan As Above As Below (Rising Force).

Penang memang těrkenal dengan borianya. Sebab itu kumpulan Brainwash masukkan sedikit unsur boria pada lagu mereka bertajuk Dari Tanah. Lagu ciptaan Brainwash lirik Usop ni ada di keratan 2, muka 1. Lagu-lagu lain yang menarik di sini ialah Memang Sengaja Kau, Mentari Pasti Hilang, Darah Hitam dan Perawan Kota.

Brainwash dianggotai oleh Zafe (vokal), Zai (gitar), Chico (bass) dan Yan (dram). Empat orang aja cukup ke? Tambahlah lagi seorang main trumpet maut, yea.  Brainwash mula dapat peluang rakam album bila mereka menjuarai Juara Rock di Pesta Pulau Pinang tahun lepas. Di pertandingan itu mereka mengalahkan 81 buah kumpulan lain. Pengadil pertandingan itu Hillary Ang dan Fauzi Marzuki naik syok tengok persembahan mereka lalu terus offer jadi artis EMI.

Belum pun buat rakaman, Brainwash telah berpeluang bermain di Medan, Indonesia atas usaha dari kerajaan negeri. Selain dari Medan mereka juga berpeluang bermain di 5 tempat lain di sekitar kawasan tersebut. "Muzik dangdut masih kuat di sana, tapi rock tetap dapat sambutan hebat" kata Chico. "Cuma rock di sana agak ketinggalan sikit. Mereka baru nak dengar  Led Zeppelin sedangkan di sini tau Led Zeppelin dah lama berpecah. Tapi ada juga sebilangan rockers di sana yang kepala heavy. Mereka minta kami main lagu Metallica. Disebabkan kami tak dapat main Metallica jadi kami tukar dengan lagu Riot. Nampaknya mereka gembira," sambungnya lagi.

Sempena kelahiran album sulung ini, Brainwash sekarang sedang sibuk buat promosi di seluruh negeri. Mereka masuk bandar keluar bandar, masuk kedai keluar kedai, panjat pokok turun pokok, supaya peminat tambah ramai.

15 Disember 1991 URTV


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2008
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut