SENARAI ARTIKEL & ULASAN

MuzikROCK
Dulu, kini & selamanya... muzikrock.com
Kembali

Festival Muzik meriahkan Pulau Sentosa
oleh Nas Ahmad

Pengunjung ke Pulau Sentosa, Singapura pada hari Ahad 23 Julai 89 merasa bertuah kerana dapat menonton suatu konsert percuma yang luar biasa - persembahan 20 buah kugiran dan 4 artis solo dari bakat baru dan yang dah ternama! Kemeriahan terasa dari awal konsert hingga ke penghujungnya bila sebilangan penonton ikut sama menyanyi.

Persembahan 'Festival Muzik' itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sentosa, Singapura bermula dari jam 3.30 petang hingga 10.30 malam. Lapan buah syarikat rakaman telah menghantar beberapa artis-artis mereka menyertai festival ini. Mereka yang terlibat ialah Kugiran Odyssey dan penyanyi Thomas Teo dari Polygram, Hurricane dari Platinum Records, Odd Fellows dari BIGO Records, kugiran Eazy, Last Minute, KRAX, Helter Skelter dan Rockers dari Life Records, Justice dari Hassim Studio, penyanyi Sharm, Azhar Ahmad, Joe Tsio, kugiran History dan Anesthesia dari BMG (wakil syarikat PMC di Singapura), dan penyanyi Angeline Kong, Maizurah Hamzah, kumpulan padu suara Sunshine Kids, kugiran Lovehunters dari WEA.

Kugiran Puteri yang turut serta tidak dihantar oleh syarikat rakamannya SRC, mereka dihantar oleh Muzika Records. Selain itu terdapat juga artis yang muncul secara persendirian seperti kugiran Fire Machine, The Islanders, Bai Ravi Orchestra, Drifters dan Tomato. Tiap artis mempersembahkan di antara 2 hingga 4 buah lagu.

Konsep Festival Muzik itu ialah untuk menonjolkan muzik kontemporari dari 3 lapisan masyarakat di Singapura iaitu Melayu, Cina dan India, tapi di beberapa ketika didapati keadaan terkeluar dari konsep asal - bertukar jadi konsert rock. Ini kerana sebahagian besar pesertanya adalah kugiran rock!

Kugiran Rockers yang memulakan persembahan dengan lagunya 'Harakah' dapat mencuri hati penonton, sampaikan atas permintaan ramai mereka terpaksa naik pentas lagi di akhir persembahan festival ini.

Kugiran Lovehunters muncul tanpa Moliano (lead guitarist) yang masih dirawat kerana sakit buah pinggang. Tempat Moliano diganti oleh seorang pemuzik sessionist. Mereka membawakan lagu Realiti dan You Really Got Me (Van Halen).

Helter Skelter membawakan 2 buah lagu iaitu Tragedi dan Seek And Destroy (Metallica).

Maizurah Hamzah yang muncul dengan 2 buah lagu ciptaan Ramli Sarip 'Kau Yang Pertama' dan 'Cara Sendiri' membuktikan dia ada potensi untuk jadi top bila album sulungnya siap nanti. Dia diiringi oleh muzik minus one.

Kalau fasal menjerit - serahkan saja pada kugiran KRAX. Dari mula naik pentas sampai turun pentas mereka gasak menjerit. Ada potensi untuk jadi Tarzan!

Kugiran Tomato pula, sungguhpun buah tomato lembik tapi kugiran Tomato keras, mungkin tomato batu agaknya!

Juruacara festival itu ialah Brother Rock Adnan Maswan dan Jasni Jamil. Festival yang berlangsung di Taman Bunga Sentosa itu diadakan di sebuah pentas temporari yang comel dan sempit. Akibatnya artis dengan artis selalu berlaga, baik tak bertelur di dahi! Kepada artis yang kena giliran persembahannya pada sebelah petang nasib kurang baik. Pentas tersebut tak berbumbung, cuaca pula panas terik. Maka basah kuyuplah artis tersebut bermandi peluh bagaikan tikus jatuh longkang. Kasihan! Tapi... rock terus rock!!

15 Oktober 1989 URTV


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web 2006-2008
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut