Penonton lebih
menggila Rock dari Pop!
oleh
Norbaya Musa
Biasanya bila disebut tentang
muzik, ianya lebih banyak dikaitkan dengan anak-anak muda. Tapi
ini tidak bermakna orang-orang tua tak minat langsung mendengar
muzik atau mengikuti perkembangan dunia muzik sama sekali!
Anak-anak muda
yang meminati muzik pula berbagai kategori. Ada yang lebih
senang menikmati lagu-lagu yang muziknya sentimental dan
mendayu-dayu. Pokoknya, bila mendengar irama yang begini, hati
dibuai rindu! Malah ada yang mengalirkan air mata bila mendengar
lagu-lagu yang mempunyai cerita di sebaliknya. Maka golongan
inilah yang dinamakan Mat Jiwa-jiwa dan Minah
Jiwa-jiwa. Biasanya golongan begini sedang diamuk cinta dan
lagu-lagu berirama sentimental cepat menyentuh perasaan. Maka
inilah dia golongan yang meminati lagu-lagu berirama pop
termasuk dangdut. Sekiranya ada pertunjukan yang menampilkan
penyanyi-penyanyi seperti Sudirman, Noorkumalasari, Sharifah
Aini, Noreen Noor, Fauziah Ahmad Daud, Jamal Abdillah dan ramai
lagi artis-artis pop, maka golongan di ataslah penonton utamanya.
Biasanya golongan ini tidak terlalu 'menggila' bila menonton
pertunjukan pop kalau dibandingkan mereka yang menyaksikan
pertunjukan rock!
Paling tidak,
kalau penyanyi pujaan mereka muncul dengan lagu kegemaran mereka,
maka mereka naik ke pentas menghulurkan sekuntum mawar merah
atau cukup sekadar bersalam. Tepukan silih-berganti dan kalau
penyanyi lincah seperti Ogy, Noreen atau Sudir menyampaikan lagu
'hot', mereka mengambil masa juga untuk naik ke pentas menari
bersama. Bagi yang ingin mencari ketenangan jiwa, maka
pertunjukan pop adalah sesuai. Anda dinasihatkan jangan sama
sekali mencari kedamaian hati dengan menyaksikan 'rock show'!
Paling ketara,
muziknya kuat bagaikan nak pecah anak telinga! Alat-alat muzik
semuanya heavy metal dan suara penyanyinya tenggelam dek
muzik yang kuat. Showmanship penyanyi dan pemain muzik
benar-benar bagaikan dirasuk. Melonjak, melompat, menggeliat,
menjerit dan macam-macam gaya yang membuat mata anak muda
terbeliak!
Pokoknya mata
yang mengantuk terus celik. Bagi yang memang kaki rock, hai! hai!
hai! Memang tak senang duduklah. Kaki sentiasa bergoyang, tangan
turut melambai, malah kalau yang dah terlalu menggila sangat tu,
terus melompat ke pentas dan menari bersama si penyanyi.
Kita boleh
kenal dengan golongan yang meminati muzik rock dari segi pakaian
dan juga rambut. Mereka bukanlah golongan Mat Smart, tapi
cukup selesa dengan jeans lusuh, Kemeja-T yang terpampang
bermacam-macam gambar kumpulan rock dengan perkataan yang 'bergegar'
serta fesyen rambut yang kusut masai dan terjuntai sedikit di
hadapannya.
Kumpulan muzik
rock tanahair yang kini mendapat tempat di hati peminat-peminat
rock terdiri dari Search,
Lefthanded,
Sweet Charity, Blues
Gang, Headwind, Kumpulan SYJ dan
beberapa kumpulan lagi. Penyanyi rock yang diminati masa kini
pula terdiri dari Ramli Sarip,
Ito Mohammad, Amy, Amir dan
beberapa orang lagi. Mereka digelar 'Rocker'!
Bagi anda yang
berjiwa sentimental, anda tidak akan senang melihat telatah dan
gelagat 'kutu-kutu rock'. Mereka menjerit sekuat hati dan tidak
mempedulikan langsung keadaan sekeliling. Mereka mabuk dengan
irama rock yang bingit dan sekira si penyanyi membawa lagu yang
kurang dengan irama rock, maka mereka akan menjerit: "We want
rock! We want rock!"
© 15 Julai
1986 URTV |